Pembinaan loji rawatan manfaatkan penduduk Pangkor

PANGKOR: Projek pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan yang akan dibina di Pasir Bogak, Pulau Pangkor dapat memberi manfaat kepada penduduk di pulau peranginan itu.

Projek pembinaan membabitkan loji kumbahan berkapasiti 15,000 PE (30,000 PE Ultime) dan rangkaian paip pembentungan sepanjang 3.7 kilometer (km) bermula di Hospital Desa Pangkor sehingga ke Pasir Bogak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, fasa pertama projek pembinaan itu dijangka siap pada 2021.

Katanya, pembinaan itu akan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat selain memastikan proses kumbahan berjalan lancar.

"Ini adalah hasil perbincangan dan memang kita merancang untuk satu sistem pembentungan yang baik.

"Bagi negara maju, sistem ini yang memastikan masalah kumbahan dapat diuruskan dengan baik serta boleh mengalirkan sisa kumbahan dan diproses dengan baik," katanya selepas taklimat projek itu oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak yang terbabit dalam projek pembinaan itu di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk kontraktor supaya tiada masalah berlaku, terutama membabitkan gangguan lalu lintas.

Katanya, perkara itu turut dibangkitkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Seperti kon yang kotor dan tidak tersusun akan memberikan gambaran tidak baik kepada imej bandar raya Ipoh yang merupakan bandar raya terbersih.

"Saya juga harap kedua-dua projek ini (Ipoh dan Pulau Pangkor) juga tiada kelewatan," katanya.



Sumber Pembinaan loji rawatan manfaatkan penduduk Pangkor

Post a Comment

Previous Post Next Post