Isteri Tabah Jaga Datuk Ooi Eow Jin

Isteri Tabah Jaga Datuk Ooi Eow Jin

Pengorbanan seorang isteri. (Pic: Chempaka Nur Iman)

Pada usia mencecah 78 tahun, sepatutnya Datin Khaw Lean Kee menikmati usia emas sambil melayani anak cucu.

Namun kehidupan tidak selalu indah. Isteri kepada Datuk Ooi Eow Jin, 80 itu melalui dugaan hebat apabila perlu menjaga suami yang disahkan Alzheimer serta anak mereka, Raymond yang juga pesakit tumor otak.

Lebih menyukarkan situasi apabila sejak tahun lalu komposer dan pengarah muzik terkenal itu mengalami sakit lutut hingga tidak mampu bergerak dan terlantar di katil seperti anak sulung mereka.

Dalam keadaan dirinya sendiri yang berdepan masalah tekanan perasaan, Lean Kee tetap tabah menjaga kedua-dua insan kesayangan biar pada masa sama perlu mencari biaya tambahan termasuk menjual kuih kapit.

“Perbelanjaan perubatan untuk mereka agak tinggi. Saya pula tidak boleh bekerja kerana perlu dijaga 24 jam terutama memberi makan ubat mengikut jadual, menyuapkan makanan dan membersihkan badan mereka.

“Kalau dulu saya boleh membawa suami keluar ambil angin petang di kawasan sekitar rumah menggunakan kerusi roda, tetapi sekarang dia tidak boleh bergerak. Jadi hidupnya hanya di dalam rumah.

“Ingatannya juga semakin merosot. Dia hanya terbaring di katil terutama selepas diserang angin ahmar ketika pertengahan tahun lalu. Selepas itu pergerakkannya sangat terbatas,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Mengakui terpaksa menggunakan khidmat pembantu separuh masa disebabkan kesihatan Lean Kee sendiri tidak menentu, dia tiada sebarang pilihan kecuali berniaga dari rumah.

Tidak hairan di atas inisiatif rakannya, promosi mengenai jualan kuih kapit yang diwar-warkan di media sosial menggamit perhatian ramai hingga menjadi tular sejak minggu lalu.

Katanya, ada yang datang ke rumah sewa mereka di Petaling Jaya, Selangor untuk melihat sendiri kedaaan keluarganya semata-mata mahu memastikan tiada unsur penipuan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Sejak minggu lalu ramai datang dan tidak kurang yang menghubungi saya. Terima kasih di atas tanda prihatin anda semua. Saya minta maaf kalau ada mesej yang tidak berbalas kerana mata saya juga semakin rabun.

“Selepas kisah kuih kapit menjadi perhatian ramai, barulah kawan saya maklumkan mengenai perkara ini. Saya bukan tahu pun nak mempromosikan jualan saya di Facebook.

“Memang banyak tempahan dan ramai juga yang hulurkan sumbangan. Sebenarnya saya harap tiada pihak salah faham. Saya tak mahu dilihat meminta-minta, jadi saya cuba mencari pendapatan sampingan.

“Tahun lepas pun saya ada jual kuih kapit pada musim perayaan tetapi sambutannya tak seperti ini. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada keluarga kami,” katanya lagi.

Penderitaan Eow Jin dan keluarganya meraih perhatian ramai sejak 2015 apabila mereka dikatakan terpaksa mengharapkan ihsan gereja selepas pengarah muzik itu diserang Alzheimer.

Eow Jin memulakan kerjaya dalam arena muzik dengan menganggotai Orkestra RTM bermula 1963 hingga 1983, sebelum berhijrah ke TV3, setahun kemudian.

Beliau kemudian bekerja sebagai pegawai kebudayaan sebuah universiti pada 1989 dan tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kali terakhir Eow Jin bekerja adalah sebagai pemain piano solo di sebuah hotel di ibu negara, sehingga Jun 2015.

Beliau banyak mencipta lagu untuk penyanyi tempatan dan luar negara termasuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Datuk Rafeah Buang, Datuk M Nasir, Rahimah Rahim, Flora Santos, kumpulan Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.



Sumber Isteri Tabah Jaga Datuk Ooi Eow Jin

Post a Comment

Previous Post Next Post