Jurulatih bola sepak atur perlawanan ditahan

SEREMBAN: Seorang jurulatih kelab bola sepak amatur ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini, untuk memberi keterangan kira-kira jam 3 petang tadi.

Katanya, suspek dipercayai memberi sejumlah wang antara RM80 hingga RM100 kepada semua pemain serta pegawai pasukan kendaliannya supaya mereka tewas dalam satu perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) pada November tahun lalu.

"Dalam perlawanan membabitkan pasukan daerahnya serta sebuah daerah lain di negeri ini, pasukannya tewas dengan jumlah jaringan yang besar sehingga menimbulkan rasa curiga beberapa pihak yang kemudian membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Khas Reman di sini esok, bagi membolehkan SPRM memohon perintah tahanan reman untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut.



Sumber Jurulatih bola sepak atur perlawanan ditahan

Post a Comment

Previous Post Next Post