‘Justice League’ Tidak Gah Seperti Diharapkan

PERKHABARAN tentang filem cereka Justice League bukanlah sesuatu yang baharu. Jika tidak silap penulis, projek berkenaan memang sudah lama dirancang untuk menggabungkan watak-watak adiwira popular ciptaan DC Comics dalam membentuk sebuah liga untuk memerangi musuh.

Lalu, apabila DC Films dan Warner Bros. Pictures mengumumkan berita berkenaan bakal direalisasikan sejak tahun 2014 lagi, ramai menyambutnya dengan penuh keterujaan dan kegembiraan.

Ditambah pula dengan kejayaan The Avengers (2012) yang diterbitkan oleh musuh tradisi DC Films iaitu Marvel Studios membuatkan peminat tidak sabar untuk menantikan gabungan Superman, Batman, Wonder Woman, Aquaman, The Flash dan Cyborg di layar perak.

Akan tetapi, kegagalan filem Batman v Superman: Dawn of Justice dan Suicide Squad (kedua-duanya di bawah jenama DC Cinematic Universe) masing-masing ditayangkan tahun lalu menyebabkan ramai mula skeptikal dengan Justice League walaupun ia masih lagi dalam pembikinan.

Sementelah, berita mula bertebaran pelbagai masalah dihadapi sewaktu penggambaran sehingga menyebabkan ada babak-babak tertentu yang perlu dibikin semula, ia menambahkan perasaan negatif itu terhadap Justice League.

Penulis tidak terkecuali memiliki prasangka sedemikian kerana Batman v Superman: Dawn of Justice dan Suicide Squad telah membuatkan penulis tidak dapat untuk lari daripada memikirkan Justice League juga akan menimpa permasalahan serupa.

Justeru, tidak menunggu lama, penulis melapangkan minda menonton Justice League beberapa hari lalu dan segala apa yang diulas oleh penulis adalah sesuatu yang jujur dan lahir dari hati.

Dari sudut positifnya, penulis menakrifkan Justice League sebagai sebuah karya yang tidak mengecewakan untuk ditonton. Elemen hiburan masih lagi menjadi teras dan disebabkan itu tona filem ini telah dilembutkan jika hendak dibandingkan dengan Batman v Superman: Dawn of Justice dan Suicide Squad.

Bahkan, penulis memberikan pujian kepada pemain wataknya terutama Gal Gadot selaku Diana Prince dan alter egonya, Wonder Woman yang penulis lihat begitu konsistem dalam persembahannya.

Barangkali ia adalah disebabkan Gadot masih lagi di dalam watak berkenaan apabila sebaik sahaja filem Wonder Woman menamatkan penggambaran, aktres jelita kelahiran Israel itu terus ke set Justice League pula lalu menampakkan konsisten beliau sebagai Wonder Woman.

Kehadiran watak Barry Allen atau The Flash yang dilakonkan oleh Ezra Miller juga telah mengimbangkan mood Justice League daripada terus menjadi sebuah karya serius. Ternyata pemilihan Miller memang tepat dan memberikan satu perspektif baharu terhadap watak The Flash itu sendiri.

Sebagaimana penulis teruja untuk menyaksikan watak Aquaman dizahirkan ke layar perak, begitulah perasaan penulis sewaktu melihat Aquaman atau nama sebenarnya, Arthur Curry muncul dalam filem ini.

Walaupun penulis akui tidak berasa puas dengan kemunculan Aquaman yang dijayakan dengan menyakinkan oleh Jason Momoa, penulis harus sedar ini bukan filem solo Aquaman lalu keseimbangan antara watak lain perlu dititik beratkan.

Nampaknya, penulis perlu menunggu setahun lagi untuk menyaksikan Aquaman beraksi solo dalam filem persendiriannya, Aquaman arahan James Wan (The Conjuring, 2013 dan The Conjuring 2, 2016).

Beralih kepada kekurangan dan kelemahan Justice League pula, ternyata perkara pokoknya adalah lakon layarnya yang begitu mendatar dan bersifat satu dimensi lalu tidak memberikan impak yang sewajarnya.

Jika hendak dibandingkan kekuatan yang dimiliki oleh adiwira Justice League dengan The Avengers, Justice League sebenarnya lebih hebat dan memiliki kelebihan luar biasa yang sepatutnya dimanipulasi semaksimumnya.

Namun, harapan untuk melihat Justice League gah di layar perak tidak kesampaian disebabkan kelemahan ini yang penulis sifatkan sayang seribu kali sayang. Nampaknya, Justice League bukanlah liga yang terhebat di layar perak kerana mereka tidak memiliki keseragaman dan penyatuan seperti mana yang dapat dilihat menerusi watak-watak dalam The Avengers.

Masalah utama DC Films adalah mereka sebenarnya tergesa-gesa dan tidak sabar untuk bersaing dengan Marvel Studios selepas melihat kejayaan luar biasa yang dicatatkan oleh The Avengers (2012) dan Avengers: Age of Ultron (2015).

Tetapi, tanpa disedari mereka, sebenarnya, mereka tidak memiliki akar tunjang yang kukuh sebelum mahu menghasilkan filem-filem seperti Justice League, Suicide Squad dan Batman v Superman: Dawn of Justice.

Dalam erti kata lain, ia tidak memiliki cerita yang kukuh secara persendirian terhadap watak-watak utama ini sebelum mereka digabungkan menjadi sebuah pasukan yang sepatutnya hebat.

Sehubungan itu, lakon layar mula menjadi kacau bilau dan tidak berfokus kerana mereka tidak mahu penonton berasa tertinggal dan tertanya-tanya jika tidak ada latar belakang terhadap watak yang diketengahkan.

Satu yang pasti, Ben Affleck sebagai Bruce Wayne dan Batman sebenarnya tidak sesuai dengan diri aktor yang juga bekas pemenang Oscar itu. Affleck tidak memiliki persona sebagai Batman.

Disebabkan itu, beliau kelihatan lemah dan tidak bermaya membawakan watak ciptaan Bob Kane itu lalu menjadi faktor penyumbang kepada kegagalan Justice League.

Perkara itu juga sama terhadap watak Victor Stone atau Cyborg lakonan Ray Fisher yang tidak diberikan keadilan sewajarnya sehingga ia dilihat sebagai watak yang kurang penting dalam Justice League.

Seharusnya DC Films dan Warner Bros. Pictures di bawah jenama DC Extended Universe (DCEU) memikirkan dahulu bagaimana hendak mengukuhkan cerita dan watak masing-masing dalam filem persendirian mereka seperti mana formula Marvel Studios menerusi jenama Marvel Cinematic Universe.

Dan, sebagai filem ketiga paling mahal pernah dihasilkan dalam sejarah perfileman dunia selepas Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides (2011) dan Pirates of the Caribbean: At World’s End (2007), ternyata Justice League terpaksa bekerja keras untuk mencatatkan laba semaksimum mungkin bagi menampung kos penerbitannya.




Sumber ‘Justice League’ Tidak Gah Seperti Diharapkan

Post a Comment

Previous Post Next Post