“Kalau Nak Suruh Bersalin Dalam Air, Memang Tidaklah” - Siti Nurhaliza

“Kalau Nak Suruh Bersalin Dalam Air, Memang Tidaklah” - Siti Nurhaliza

Siti mahu tumpukan lebih kepada majlis keagamaan. (Pic: Instagram @ctdk)

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak bercadang untuk mengadakan majlis ‘baby shower’ untuk meraikan kehadiran bayi sulungnya seperti yang dilakukan artis lain sebelum ini.

Menurut si pelantun lagu Segala Perasaan ini, beliau dan suami lebih selesa menggantikan acara itu dengan perkara yang lebih lebih dituntut agama iaitu dengan mengadakan kenduri doa selamat.

Acara doa selamat lebih penting.

“Ada atau tidak baby shower, Siti tak kisah pun sebenarnya. Kalau ditanya, Siti dan suami lebih suka buat majlis bacaan doa selamat dan baru-baru ini, Siti ada buat kenduri. Bagi kami, acara doa selamat itu lebih penting supaya dipermudahkan segalanya.

Majlis untuk keluarga dan rakan terdekat.

“Untuk majlis itu, kami tak jemput ramai orang pun dan tetamu yang hadir terdiri daripada kenalan rapat, keluarga dan saudara mara sahaja. Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran anak-anak Tahfiz yang tinggal berdekatan,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Majlis untuk tiga sambutan serentak.

Siti turut memberitahu majlis yang diadakan di kediamannya itu juga boleh diibaratkan serampang dua mata buatnya.

“Selain mendoakan yang baik-baik buat kandungan ini dan dipermudahkan urusan melahirkan, majlis itu juga dibuat bersempena sambutan Maulidur Rasul dan juga hari kelahiran anak tiri Siti, Mohamed Aazief,” ujar penyanyi berusi 39 tahun ini.

Alami simtom ibu hamil.

Melihat keadaan Siti yang seperti kurang selesa dengan situasi yang sedang dilaluinya itu, penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini mengakui dia sedang mengalami simtom ibu hamil.

“Dalam usia kandungan tujuh bulan ini, Siti mengalami kebas di tangan kiri, susah nak tidur malam dan juga pedih ulu hati. Bila Siti rujuk pada doktor, mereka mengatakan itu adalah situasi biasa untuk wanita mengandung dan ia akan pulih seperti biasa selepas melahirkan.

Belum bersedia bersalin dalam air.

“Mengenai cara bagaimana Siti mahu melahirkan, perkara ini bergantung kepada keadaan bayi Siti. Doktor akan pantau perkembangan bayi setiap masa. Apa sahaja cara yang doktor sarankan, Siti akan ikut. Cuma kalau nak suruh bersalin dalam air memang tidaklah kerana Siti masih belum ada keberanian untuk berbuat begitu,” terang isteri kepada tokoh korporat, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa ini.

Berkemungkinan ada dua konsert mega tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Siti turut memberitahu yang besar kemungkinan dia akan kembali dengan dua konsert mega pada tahun ini.

“Setakat ini memang ada yang datang merisik dan mahu Siti mengadakan konsert di luar negara iaitu di Indonesia dan juga Singapura pada tahun ini juga. Setakat ini belum ada kata putus yang diberikan dan bergantung kepada keadaan Siti,” kata Siti yang bakal melahirkan bayi perempuannya Mac depan.



Sumber “Kalau Nak Suruh Bersalin Dalam Air, Memang Tidaklah” - Siti Nurhaliza

Post a Comment

Previous Post Next Post