Khai Bahar Terjun Ke Bidang Lakonan?

Khai Bahar Terjun Ke Bidang Lakonan?

Ingin mencuba bidang baru. (Pic: Instagram @khaibahar94)

Selepas setahun lebih mengukuhkan nama sebagai penyanyi, bintang muda lagi kacak, Khai Bahar kini dilihat sudah mula terbuka dan berkira-kira untuk melebarkan sayap seni sebagai pelakon pula.

Sebelum ini pernah bertebaran khabar angin yang kononnya penyanyi Siti Nordiana mahu memujuk Khai berlakon sekali dalam drama adaptasi novel, Klik! Pengantin Musim Salju diarahkan Michael Ang. Drama itu dijangka memulakan penggambaran pertengahan Februari ini.

Tawaran watak cameo.

Drama itu juga gandingan kedua Siti Nordiana bersama Alif Satar selepas Dia Semanis Honey. Khabarnya memang Michael Ang dikatakan berminat menawarkan watak cameo kepada Khai.

Berkongsi hal itu kepada Rojak Daily Kaw! Khai tidak menolak peluang itu jika kena pada caranya.

“Sebelum ini saya macam tak bersedia ke arah berlakon, tapi sekarang saya rasa kalau nak mencuba apa salahnya. Semua bergantung kepada jadual nyanyian saya dan pihak pengurusan NAR Records. Setakat ini belum ada keputusan muktamad.

Mahu cabar diri.

“Kalau semua ok, saya ok saja. Kalau nak difikirkan memang saya tak ada bakat berlakon. Tapi kenapa tidak boleh saya cabar diri untuk keluar dari kotak keselesaan. Saya boleh belajar dan asah bakat lakonan itu.

Jujur pemuda kelahiran Perlis itu tidak pernah membayangkan suatu hari nanti dia bakal melangkah ke pentas lakonan.

“Selama ini menyanyi saja yang saya fikir dalam kepala. Saya pun dulu pemalu. Lama kelamaan saya lawan perasaan malu itu. Jadi jika di pentas menyanyi pun saya boleh lawan rasa malu, kenapa tidak untuk dunia lakonan.

Mahu mencuba.

“Hidup ini pun satu proses mencuba. Tak salah pun. Kerana melalui hal mencuba itulah kita dapat tahu kemampuan diri,” katanya.

Kini tampil dengan imej yang dilihat matang sambil berkaca mata yang mempunyai power kerana dia rabun, Khai juga tak menolak kalau ada tawaran berlakon naskhah bercorak ketuhanan atau keagamaan.

“Kalau ada rezeki dan peluang, insya-Allah saya nak cuba,” katanya.

Bercakap mengenai hal ketuhanan dan keagamaan, Khai juga pernah terdetik untuk melahirkan album seumpama itu termasuk menyelitkan zikir. Sebelum ini pun ramai yang tertawan dengan suara Khai ketika mengalunkan zikir atau kalimah suci di laman sosialnya.

“Memang saya nak buat album sebegitu. Saya harap ia akan jadi kenyataan,” katanya.

Hasilkan mini album.

Mengenai perancangan tahun ini, Khai memaklumkan akan muncul dengan single duet bersama Fatin Husna selain mengeluarkan album mini memuatkan enam buah lagu.

Terdahulu Khai pernah muncul dengan single Luluh, Bayang dan Dari Jauh Saja selain single raya berjudul Salam Syawal. Selepas itu kata Khai, duetnya dengan Siti Nordiana juga dijangka direalisasikan tahun ini.

“Judul lagu duet itu belum ada. Tapi kami sudah rakamkan lagu itu. Ia berkonsepkan balada. Album mini pun tak pasti lagi bila akan berada di pasaran.

Harap impian berduet jadi kenyataan.

“Mungkin lepas selesai urusan promosi dengan Fatin Husna, baru projek dengan Siti Nordiana akan bermula. Dia pun tengah sibuk berlakon sekarang ini.

“Teruja juga kalau projek duet saya dengannya menjadi. Sejak kenal rapat dengannya, kami tak pernah lost contact. Tak terbayang pun akan ada peluang untuk berduet. Dulu pun setakat berduet di aplikasi Smule saya sudah rasa bahagia sangat hidup ini. Saya harap impian berduet ini akan jadi kenyataan,” katanya.

Bakal berentap di Juara Lagu.

Khai dalam perkembangan lain akan berentap di Anugerah Juara Lagu ke-32 pada 11 Februari depan. Khai mempertaruhkan lagu Bayang dan buat kali pertama melangkah ke pentas berprestij yang mengangkat karya komposer tanah air.



Sumber Khai Bahar Terjun Ke Bidang Lakonan?

Post a Comment

Previous Post Next Post