Kim Swee tak pilih lawan

JURULATIH negara, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya tidak terus dibuai kejayaan mengejutkan Arab Saudi 1-0, semalam kerana misi mereka belum berakhir dengan cabaran besar menanti di suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun, Sabtu ini.

Beliau menegaskan, tidak kira siapa lawan mereka sama ada Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Syria yang bersaing merebut slot ke suku akhir dalam Kumpulan D, ia tetap perlawanan sukar.

"Kita tahu keempat-empat pasukan Kumpulan D mempunyai peluang sama, sesiapa yang akan kita temui pasti akan beri saingan sengit, di mana peringkat suku akhir adalah membabitkan lapan pasukan terbaik Asia.

"Jika Vietnam sekalipun, mereka mempunyai persiapan cukup baik dengan berada di Korea Selatan sebelum ke China, jadi saya tak nampak satu perlawanan mudah mahupun bertemu Korea Selatan, Australia, Vietnam atau Syria," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Malaysia melakar sejarah menjadi wakil Asia Tenggara pertama mara ke suku akhir kejohanan ini sejak 2013 apabila muncul naib juara Kumpulan C dengan mengumpul empat mata hasil kemenangan ke atas Arab Saudi 1-0, seri 0-0 dengan Jordan dan tumpas 1-4 kepada Iraq.

Berdasarkan kedudukan itu, skuad negara yang tampil buat kali pertama akan berdepan juara Kumpulan D di Stadium Kunshan Sabtu ini.

Kim Swee yang pernah membimbing pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta berkata, semua pemain tidak boleh mensia-siakan peluang beraksi di pentas suku akhir.

"Kejayaan Sukan SEA sangat manis tapi kejayaan ini lebih besar kerana ini peringkat Asia. Dengan pencapaian ke suku akhir, pasukan negara akan ada kelebihan pada undian kejohanan seterusnya apabila kita akan berada dalam balang 1 pada 2019.

"Kita boleh meraikan kejayaan ini tapi kita harus kembali fokus di mana kita ada perlawanan suku akhir dan jangan lepaskan peluang untuk mencipta satu lagi sejarah," katanya.

Kim Swee memberikan rehat kepada semua pemain hari ini sebelum kembali menjalani latihan seperti biasa esok.



Sumber Kim Swee tak pilih lawan

Post a Comment

Previous Post Next Post