Lawatan kerja PM ke Sabah esok

KOTA KINABALU: Lawatan kerja Datuk Seri Najib Razak ke Sabah, esok, menunjukkan keprihatinan berterusan Perdana Menteri itu terhadap kesejahteraan, kebajikan dan nasib rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata walaupun sibuk dengan tugas dan tanggungjawab, Perdana Menteri tetap meluangkan masa untuk turun padang, merasai denyut nadi rakyat di negeri ini.

"Sabah tidak pernah diketepikan oleh Kerajaan Pusat, malah sentiasa diberikan perhatian sewajarnya di bawah pemerintahan yang diterajui Perdana Menteri.

"Banyak program dan projek pembangunan dilaksanakan untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat," katanya mengulas mengenai lawatan kerja Perdana Menteri ke Sabah, esok.

Musa berkata, lawatan Najib ke Sabah sudah tentu akan mencetuskan impak dan manfaat yang besar kepada rakyat di negeri ini.

"Sebagai contoh, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di Kota Marudu bukti Perdana Menteri mengambil berat keperluan pendidikan dan keselesaan anak-anak Sabah dalam aspek pendidikan.

"Ini juga bukti Perdana Menteri serius dalam membangunkan modal insan berkualiti di negeri ini. Klinik Kesihatan baharu di Nabawan pula bukti Perdana Menteri menyelami hati nurani rakyat pedalaman yang memerlukan kemudahan kesihatan yang baik.

"Justeru, saya minta rakyat Sabah agar terus menyokong kerajaan yang diterajui BN demi kelangsungan pembangunan Sabah yang sedang berjalan dengan pesat," katanya.

Musa berkata, hanya kerajaan BN mampu memenuhi aspirasi rakyat dan menjamin kestabilan serta perpaduan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi BN, akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan di negeri ini iaitu Penampang, Nabawan dan Kota Marudu, bermula esok hingga Jumaat.



Sumber Lawatan kerja PM ke Sabah esok

Post a Comment

Previous Post Next Post