Lawatan kukuhkan hubungan Malaysia-India: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yakin lawatannya ke India sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN - India akan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.

Pada sidang itu, Perdana Menteri berkata, pelbagai perkara akan dibincangkan dan diketengahkan, antaranya yang berkait soal perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan, keselamatan serta pertimbangan politik. 

"Jika lawatan saya yang lalu sudah menghasilkan komitmen pelaburan berjumlah RM158 bilion pada jangka panjang, saya yakin lawatan kali ini akan membawa hubungan ASEAN-India, dan Malaysia-India ke tahap lebih tinggi," katanya dalam entri video terbaharu di Facebooknya, sebentar tadi.

Najib berkata, biarpun jadual lawatannya ke New Delhi padat, namun yakin semuanya akan berjalan lancar seperti direncanakan.

"Saya baru saja selesai berbincang dengan pegawai kerajaan yang sudah bekerja bertungkus lumus bagi memastikan lawatan ini mencapai kejayaan.

"Walaupun jadual lawatan ini padat, saya yakin semua akan berjalan lancar dan saya akan mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi," katanya.

Dalam lawatan kali ini, Najib bersama sembilan pemimpin ASEAN lain akan menyertai Modi untuk sesi pemukiman bertemakan Kerjasama Maritim dan Keselamatan.

Selepas itu, Modi akan melancarkan Setem Peringatan persidangan berkenaan yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 hubungan India dengan ASEAN.



Sumber Lawatan kukuhkan hubungan Malaysia-India: Najib

Post a Comment

Previous Post Next Post