Kerajaan cadang turunkan kadar faedah pinjaman rumah - TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih rendah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kertas cadangan mengenainya akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat dan ketika ini, cadangan berkenaan sedang diusulkan kepada bank komersial untuk pertimbangan, sebelum arahan lanjut dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kadar ini haruslah kompetitif, kita sudah membuat kajian perbandingan dengan negara jiran dan beberapa negara lain, dan (kadar faedah) kita berada di pertengahan. "Bagaimanapun, jika kadar faedah ini dapat diturunkan lagi, ia boleh mengurangkan beban pembeli rumah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Isu Perumahan di Perdana Putra di sini, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan timbalannya, Datuk Halimah Mohd Sadique.

Ketika ini, kadar faedah pinjaman perumahan di Malaysia adalah 4.65 peratus, manakala negara lain seperti Singapura adalah 1.45 peratus dan Australia, 5.33 peratus.

Ditanya sama ada bank akan menerima cadangan itu, Ahmad Zahid berkata, mengikut Akta Institusi Kewangan dan Perbankan 1989, bank perlu mematuhi sebarang arahan dan garis panduan yang dikeluarkan BNM.

Selain cadangan yang dikemukakan BNM, Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut mempertimbangkan dan bersetuju dengan beberapa syor yang dikemukakan merangkumi perkara berkaitan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2.0.

Antaranya, kata beliau, termasuk penguatkuasaan pelaksanaan pembekuan sementara kelulusan projek hartanah bernilai RM1 juta ke atas dikaji semula.

"Perkara ini berikutan peratusan tinggi rumah yang tidak dapat dijual adalah yang berharga di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 iaitu 65.17 peratus (13,605 unit rumah).

"Pembangunan Analisis Data Raya (Big Data) bagi hartanah perumahan negara diperlukan bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan situasi perumahan negara untuk membuat keputusan yang tepat," katanya.

Ahmad Zahid berkata, syor lain termasuk cadangan baharu bagi penyelesaian Rumah Mampu Milik, hala tuju bagi mengatasi isu pengisian dan pengurusan Projek Perumahan Rakyat melalui penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara serta memperkenalkan kaedah Sewa Untuk Milik.

"Selain itu, cadangan BNM bagi penggubalan Akta Penyewaan dan Tribunal Penyewaan serta mekanisme merangkumi sembilan tindakan mewajibkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dalam industri pembinaan," katanya.



Sumber Kerajaan cadang turunkan kadar faedah pinjaman rumah - TPM

Post a Comment

Previous Post Next Post