KUALA LUMPUR: Pelakon, Leez Rosli, lebih selesa memberikan tumpuan kepada rumah tangga selepas melahirkan anak sulung, Nur Safiyya Alisha, yang kini berusia setahun sembilan bulan.
Sejak berkahwin dengan vokalis Drama Band, Aepul, pada Disember 2014, kelibat bekas peserta rancangan realiti ini di kaca televisyen semakin berkurangan.
Leez bagaimanapun mengakui, ada juga undangan lakonan, namun dia sukar untuk berjauhan dengan anak.
"Saya sendiri sudah semakin selesa memberikan tumpuan kepada rumah tangga. Ikutkan, selepas bersalin, ada tawaran seni yang datang. Cuma, saya berat hati hendak meninggalkan anak dan berjauhan daripada keluarga dalam tempoh lama.
"Saya bahagia dengan kehidupan berumah tangga sekarang. Namun begitu, ia bukanlah bermakna saya sudah bersara dari bidang seni.
"Bahkan, saya akui rindu hendak berlakon semula, cuma belum benar-benar bersedia. Biarlah anak kami besar dulu, barulah saya fikirkan kembali mengenai lakonan. Lagipun, saya juga baru saja memulakan perniagaan tudung dalam talian. Jadi, saya agak sibuk juga sebenarnya," katanya.
Menyentuh kehidupannya sebagai suri rumah, Leez berkata, dia lebih selesa menjaga sendiri anaknya tanpa pertolongan pembantu rumah.
"Dengan pelbagai cerita dilaporkan mengenai pembantu rumah, ia membuatkan saya belum bersedia ke arah itu. Ibu masing-masing pun tinggal berdekatan. Kalau ada kerja, paling tidak saya dan suami boleh minta bantuan mereka untuk menjaga Safiyya," katanya.
Kata Leez lagi, suaminya juga semakin sibuk dengan kerjaya muzik, selain menguruskan perniagaan sendiri, seperti penyediaan sistem bunyi dan pengurusan acara.
Sumber Leez belum sedia berlakon semula