MAHB akan tubuh Malaysia Airports International

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd akan menubuhkan anak syarikat baharu, Malaysia Airports International pada suku keempat tahun ini, bagi memantapkan lagi operasi perniagaan antarabangsa.

Syarikat berkenaan akan menjadi anak syarikat milik penuh pengendali lapangan terbang terkemuka negara itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata dengan mengasingkan perniagaan antarabangsa, ia akan menjadikannya lebih fokus dan membuat perancangan yang lebih teliti terhadap operasi luar negaranya.

Malah, katanya, dengan adanya syarikat baharu itu, pihaknya juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsi yang berminat untuk melabur dalam perniagaan antarabangsanya itu.

"Penubuhan syarikat baharu ini akan memudahkan kami dalam membuat keputusan mengenai apa yang akan dilakukan selanjutnya dengan lebih konsisten," katanya pada sidang media selepas membentangkan perkembangan perniagaan terkini dan tinjauan 2018 MAHB di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG), Turki, Badlisham berkata, MAHB sentiasa berminat untuk mencari rakan kongsi strategik untuk lapangan terbang itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan 10 pihak yang berminat untuk menjadi rakan kongsi dalam pemilikan ISG.

Katanya, pihaknya yang kini memiliki 100 peratus kepentingan dalam ISG, bersedia untuk menjalin kerjasama sama ada ia membabitkan rakan kongsi tempatan Turki dan juga asing.

"Dalam tempoh sederhana, kami mahu mengekalkan kepentingan majoriti kami dalam ISG," katanya.

Mengenai prestasi kewangan ISG, Badlisham berkata, MAHB mengunjurkan operasi luar negaranya itu akan mencatatkan untung tahun ini.

Menyentuh mengenai impak caj perkhidmatan penumpang (PSC) terhadap permintaan pengembaraan, Badlisham berkata, ada kitaran caj yang tinggi sebelum ini tetapi ia tidak memberi kesan ketara terhadap permintaan pengembaraan memandangkan kadar yang dikenakan di negara ini adalah rendah.

"Malah, kadar caj yang dikenakan di negara ini juga adalah yang terendah di rantau ini," katanya.



Sumber MAHB akan tubuh Malaysia Airports International

Post a Comment

Previous Post Next Post