Mandi Adalah Waktu Seronok Buat Kami, Mereka Akan Buka Badan Sebaik Saja Air Suam Terkena Perut

Mandi Adalah Waktu Seronok Buat Kami, Mereka Akan Buka Badan Sebaik Saja Air Suam Terkena Perut

Siapa paling comel antara Hatchi dengan pemiliknya, Syikin? (Gambar: asyikinikram)

Pernahkah anda terdengar mengenai kisah seekor anjing bernama Hachiko? Dalam kalangan masyarakat Jepun terutamanya, cerita haiwan tersebut telah diangkat sebagai satu simbol semangat setia kawan dan kekeluargaan yang jitu.

Hachiko dan tuannya, Profesor Eizaburo Ueno dikatakan mempunyai hubungan yang sungguh akrab bagaikan anak dan ayah. Anjing tersebut akan menemani pemiliknya itu untuk ke stesen kereta api Shibuya di Tokyo pada setiap pagi untuk pergi ke kerja.

Pada sebelah petangnya pula, Hachiko akan menunggu Eizaburo turun daripada kereta api di stesen yang sama untuk menjemputnya pulang.

Malangnya, suatu hari ketika Hachiko menunggu pemiliknya itu pulang pada 21 Mei 1925, tuannya itu tidak muncul seperti biasa. Sebenarnya, professor tersebut mengalami pendarahan otak dan meninggal dunia pada hari tersebut.

Namun, Hachiko pula selama tempoh sembilan tahun, sembilan bulan dan 15 hari berikutnya terus muncul pada waktu petang di stesen kereta api sama untuk menunggu tuannya yang tidak muncul tiba.

Kisah menyayat hati itu bukan sahaja dibukukan dan dijadikan filem tetapi bulu Hachiko diawet dan dijadikan patung yang kini dipamerkan di Muzium Sains Kebangsaan Jepun, Tokyo. Sebuah patung peringatan juga didirikan buat Hachiko di stesen kereta api Shibuya.

Kisah setia kawan di antara manusia dengan binatang peliharaan ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada ramai pencinta haiwan di seluruh pelusuk dunia tetapi juga mendorong mereka untuk menamakan haiwan kesayangan mereka sempena dengan nama Hachiko.

Di Kuala Lumpur, hubungan erat antara seorang gadis dan landaknya juga menjadi sebuah kisah menarik untuk dikongsi bersama. Seperti ramai pencinta haiwan lain, landak kesayangannya itu diberi nama Hatchi sempena kisah Hachiko.

BUKAN SATU RUPANYA LIMA

Fernando (kiri) dan Baeba antara landak peliharaan Syikin yang dijaga sejak mereka dilahirkan.

Gadis yang lebih mesra dengan panggilan Syikin bercerita pada mula dia berhasrat mencari haiwan untuk dijadikan peneman di sebuah ekspo binatang peliharaan yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Itulah detik awal petemuannya dengan seekor landak betina yang diberi nama Hatchi.

"Saya mula tertarik dan meminati landak semenjak berusia 18 tahun lagi kerana berasakan mereka sangat unik dan comel tetapi pada waktu itu saya masih lagi belajar dan jarang berada di rumah maka tidak ada sebarang haiwan peliharaan.

“Sewaktu saya membeli Hatchi, saya tidak tahu yang dia sebenarnya mengandung. Tiba-tiba saya bangun pagi lalu mendapati Hatchi berada dalam sangkarnya bersama empat anak landak yang baru lahir.

“Saya terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan maka saya menghantar mesej kepada pembiak landak yang saya temui di ekspo di mana saya membeli Hatchi,” katanya kepada Rojak Daily Skop!.

Syikin atau nama sebenarnya, Nurul Asyikin Ikram yang kini berkhidmat sebagai eksekutif perhubungan awam menyatakan pembiak landak tersebut memberikan beberapa nasihat dan tunjuk ajar mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi menghadapi situasi tersebut.

Jelasnya, sekiranya ibu landak berada dalam keadaan yang tegang atau gementar, terdapat risiko di mana ibu landak tersebut mampu membunuh anak kecilnya itu. Oleh sebab demikian, tumpuan harus diberikan dalam menyediakan suasana yang tenang buat ibu landak tersebut.

Ia harus di tempatkan di sudut yang gelap dan sunyi dengan segala keperluan seperti tempat tidur, makanan dan minuman yang mencukupi.

“Anak-anak landak tersebut kini sudahpun berusia tiga bulan. Yang sulung saya namakan Fernando bermaksud berani dalam bahasa Sepanyol.

"Sewaktu Fernando masih kecil, dia sentiasa takut ketika saya ingin bermain dengannya jadi saya berikannya nama tersebut. Mudah-mudahan dia lebih berani dan selesa untuk bermain dengan saya pada masa akan datang.

“Anak landak kedua diberi nama Rakan bermaksud ‘kawan’. Rakan sangat aktif dan pada waktu malam sekiranya terdengar bunyi bising, dia mesti datang dari sangkarnya.

"Anak landak terakhir saya berikan nama Baeba kerana dia merupakan bayi terkakhir dalam keluarga tersebut,” katanya sambil mendedahkan dia memberikan satu lagi anak landak tersebut kepada rakannya untuk dipelihara.

PENEMAN COMEL DAN EKSOTIK

Rakan sangat aktif dan pada waktu malam sekiranya terdengar bunyi bising.

Secara kebiasaannya, haiwan yang sering menjadi pilihan untuk menjadi peliharaan buat majoriti penduduk negara ini adalah kucing, anjing dan ikan.

Namun, gadis berusia 25 tahun ini sendiri mengakui haiwan eksotik seperti landak juga mampu menjadi peneman yang menyeronokkan. Syikin juga percaya bahawa personaliti landak mampu dibentuk melalui interaksi dengan pemiliknya.

“Ramai berpendapat landak tidak patut dibela sebagai haiwan peliharaan. Haiwan liar harus dibiarkan liar. Jadi sebagai seorang pemilik, landak tidak harus disimpan di dalam sangkar sahaja sebaliknya diberi kebebasan yang sama seperti landak liar di luar sana.

“Mereka harus dilepaskan untuk bermain di ruang yang besar. Saya sering biar landak saya bebas bermain di ruang tamu tetapi dengan pemantauan.

“Sifat semula jadi landak bukanlah sebagai haiwan agresif. 'Quill' (duri atau bulu) mereka hanya akan digunakan sebagai alat mempertahankan diri apabila mereka berada dalam keadaan tertekan atau ketakutan.

"Mereka tidak akan menembak anda dengan quil mereka. Mereka adalah haiwan yang comel, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan sangat ‘cuddly’.

“Sewaktu memandikan mereka adalah waktu yang seronok buat saya dan landak saya. Mereka akan membuka badan mereka sebaik sahaja mereka terkena air suam di bahagian perut mereka.

"Rakan terutamanya akan berlari berpusing-pusing di dalam bekas mandiannya dan akan menjadi sangat marah apabila saya mengeluarkan,” tambahnya lagi.

Dari sudut kos untuk memelihara keluarga landak tersebut, Syikin membelanjakan lebih kurang RM500 pada bulan pertama untuk beli barang yang diperlukan seperti sangkar, tempat tidur, makanan, bekas makanan dan minuman, peralatan untuk membersih, perbelanjaan untuk ke doktor haiwan dan lain-lain lagi.

“Kos ini agak tinggi sebab saya beli sangkar dari kedai. Kalau nak lebih jimat boleh sahaja buat sangkar sendiri.

"Tempat tidur pula saya pilih yang diperbuat daripada kertas, kosnya lebih tinggi berbanding buatan kayu tetapi ia lebih selamat kerana tempat tidur kayu meninggalkan habuk dan landak akan terdedah kepada masalah pernafasan dalam jangka waktu panjang,” katanya.

SUDAH MEMPUNYAI RAMAI PEMINAT

Siapa sangka, rupa dan telatah comel yang ada pada Hatchi dan anak-anaknya mengundang perhatian orang sekeliling Syikin yang turut sama tertarik dengan haiwan tersebut.

“Keluarga saya sering ingin tahu perkembangan landak saya. Malah, saya sering kongsikan gambar dan video landak saya kepada mereka.

"Begitu juga dengan kawan-kawan saya. Ada di antara kawan saya dari tempat kerja akan singgah di rumah saya selepas waktu bekerja untuk bermain dengan landak ini,” cerita Syikin dengan nada gembira.

Dia juga menasihatkan sesiapa yang turut sama berminat untuk menjadikan landak sebagai haiwan peliharaan agar membelinya dari sumber yang boleh dipercayai. Mereka juga perlu belajar cara untuk menjaga landak dengan betul kerana ia sangat penting bagi memastikan landak itu berada dalam keadaan selesa dan gembira.

“Pemilik juga perlu ada kesabaran, terutamanya pada peringkat awal. Landak secara semulajadinya adalah haiwan yang pemalu jadi anda perlu bersabar dan menunggu mereka percayakan anda.

“Anda juga perlu menerima apa yang ada pada landak anda. Tidak semestinya mereka mampu ikut arahan atau berkeupayaan untuk melakukan pelbagai aksi seperti yang anda boleh tonton di Instagram tetapi telatah dan sifat yang ada pada mereka masih mampu menjadikan mereka peneman yang comel dan menghiburkan,” tambahnya lagi.

Syikin turut berkongsikan pengalamannya bersama keluarga landak peliharaannya itu melalui laman Instagram miliknya @asyikinikram.

Bagi sesiapa yang pernah melihat gambar atau video Hatchi dan anak-anaknya di media sosial tersebut, pastinya akan turut sama terpikat! Malah, tidak mustahil anda juga teringin sama memiliki landak peliharaan sendiri.
 



Sumber Mandi Adalah Waktu Seronok Buat Kami, Mereka Akan Buka Badan Sebaik Saja Air Suam Terkena Perut

Post a Comment

Previous Post Next Post