MIDA lulus 270 projek DISF RM13 bilion

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 270 projek di bawah inisiatifnya, Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF), dengan jumlah pelaburan sebanyak RM13 bilion setakat Disember 2017.

DISF ditubuhkan untuk mempercepatkan peralihan syarikat milik rakyat Malaysia dalam industri yang disasarkan kepada industri berasaskan nilai tinggi, teknologi tinggi, berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi yang tinggi.

Pengarah Eksekutif Perancangan Strategik (Pembuatan) MIDA, Zabidi Mahbar berkata, bagi Kedah, sebanyak RM702.3 juta diberikan di bawah DISF untuk 14 projek pembuatan.

"Walaupun persekitaran ekonomi dunia yang mencabar, Kedah telah menarik tambahan pelaburan diluluskan bernilai RM1.29 bilion dalam sektor pembuatan mulai Januari hingga September tahun lepas, mewujudkan 1,543 pekerjaan lagi di negeri itu.

"Dua puluh enam projek itu membabitkan khususnya dalam produk mineral bukan metalik, peralatan pengangkutan, elektrik dan elektronik, jentera dan perlaatan, produk getah dan produk logam buatan," katanya semasa berucap pada 'MIDA Invest Series', hari ini.

Acara bertemakan "Membuka Potensi Perniagaan Negeri' berlangsung di ibu pejabat MIDA dengan kerjasama Invest Kedah, yang turut membentangkan prospek pelaburan negeri itu dan perkembangan terkininya.

Zabidi berkata pada masa ini terdapat 10 taman perindustrian di Kedah, termasuk Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), yang telah menarik pelaburan langsung asing berjumlah RM42.3 bilion.

Antara kilang syarikat multinasional di KHTP ialah Intel, First Solar, Silterra, Infineon Technologies, Fuji Electrics dan Osram. - BERNAMA



Sumber MIDA lulus 270 projek DISF RM13 bilion

Post a Comment

Previous Post Next Post