Proses evakuasi pelancong terkandas Pulau Tioman selesai

KUANTAN: Selepas lima hari terkandas di Pulau Tioman, seramai 110 orang termasuk 98 pelancong berjaya dibawa keluar menerusi KD Terenggganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini. 

Panglima Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Datuk Mohamad Adib Abdul Samad berkata semua mereka tiba di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, pada pukul 6.45 petang tadi selepas bertolak dari Air Batang, Pulau Tioman. 

Katanya, KD Terengganu digerakkan ke Pulau Tioman pada malam semalam, dan tiba di pulau pelancongan itu sekitar pukul 3 pagi, manakala proses evakuasi bermula pada 7.30 pagi tadi sebelum memulakan pelayaran pulang pada pukul 10 pagi.

“Kita tidak menghadapi masalah melainkan beberapa orang mengalami mabuk laut. Bagaimanapun diakui ombak agak besar hari ini iaitu sekitar 3.5 ke 4 meter menyebabkannya tidak selamat kepada feri pelancongan dan bot kecil," katanya kepada pemberita di sini.

Mohamad Adib menambah terdapat 54 pelancong asing daripada 18 negara, 44 pelancong tempatan dan 12 penduduk pulau termasuk tiga penduduk yang memerlukan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dibawa keluar dari pulau itu. 

BACA: 93 pelancong terkandas di Pulau Tioman

Manakala KD Terengganu melibatkan kekuatan 80 pegawai dan anggota TLDM.

"Setibanya mereka di pangkalan, terdapat sebuah bas disediakan untuk membawa pelancong luar negara ke Terminal Sentral Kuantan untuk mereka meneruskan perjalanan ke ibu negara.

"Manakala tiga buah bas yang disediakan kepada pelancong tempatan akan membawa mereka ke Mersing, Johor kerana mereka meletak kereta di situ sebelum menaiki feri ke pulau tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penyelarasan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Dr Jafri Abdul Jalil berkata pihaknya berterima kasih kepada tindakan pantas TLDM terhadap permohonan untuk membantu mengeluarkan mangsa terkandas di Pulau Tioman. 

"Kami juga berharap pelancong dapat merancang dengan lebih baik pada masa akan datang dan mengurangkan perjalanan ke pulau pada musim tengkujuh untuk mengelakkan kejadian seperti ini," katanya. 

-- BERNAMA 



Sumber Proses evakuasi pelancong terkandas Pulau Tioman selesai

Post a Comment

Previous Post Next Post