SEREMBAN, 17 Jan — Menteri Besar Negeri Sembilan mempersoal arahan menangkap umat Islam yang ponteng solat Jumaat.
Datuk Seri Mohamad Hasan, juga pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), tidak tahu menahu arahan itu, lapor Utusan Online.
“Tapi saya hendak tanya siapa yang akan ambil kedatangan itu, hendak catit berapa kali orang datang dan berapa kali dia tidak datang. Kalau pun ada arahan dari kerajaan negeri, siapa yang hendak menguruskan perkara ini,” katanya.
Pegawai Pejabat Agama Islam Kuala Pilah dilapor berkata umat Islam yang ponteng solat Jumaat akan didenda RM1,000 dan dipenjara sehingga enam bulan.
Mohd Raizalani Mohd Rais berkata surat pekeliling berkaitan hal itu sudah dikeluarkan kepada 68 masjid awal bulan ini.
Tidak dapat bersetuju atau sebaliknya, Mohamad berkata sebarang arahan berkaitan orang ramai harus dimaklumkan terlebih dahulu untuk dibincang.
Beliau percaya arahan itu inisiatif pejabat agama daerah kerana surat pekeliling itu bukan dari kerajaan negeri atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
“Pejabat agama daerah tidak sepatutnya buat pekeliling seperti itu. Kalau ada pekeliling mesti buat untuk seluruh negeri ini dan mesti dibincangkan di peringkat jabatan,” katanya.
Sumber Siapa nak catit? MB persoal arahan tangkap ponteng solat Jumaat