KANGAR, 21 Jan — Seorang atlet pelapis berbasikal Perlis maut dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini.
Ketua polis daerah Padang Besar, Supt Ghazani Abdul Ghani berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, Ku Hasbullah Ku Abdul Rahman, 18, dipercayai hilang kawalan ke atas basikal yang ditunggangnya dan terbabas sebelum melanggar penghadang di sebelah kiri jalan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa hilang kawalan dan terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut memandangkan tidak melibatkan kenderaan bermotor yang lain,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
Difahamkan atlet berkenaan pernah mewakili negeri dalam beberapa kejohanan berbasikal dan dalam proses pemilihan atlet untuk Sukan Malaysia (Sukma). — Bernama
Sumber Terbabas, pelumba pelapis basikal Perlis maut