MELAKA, 16 Feb ― Jentera Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA dinasihatkan supaya tidak mensia-siakan kepercayaan masyarakat Cina kepada parti itu, sebaliknya, terus membanting tenaga untuk membela nasib mereka.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata berdasarkan laporan dan makluman balas yang diterima BN Melaka, lebih ramai masyarakat Cina kini meletakkan kepercayaan kepada BN setelah melihat kegagalan pembangkang membela nasib mereka.
“Justeru, kepercayaan itu perlu diterjemah kepada kerja keras untuk membantu masyarakat Cina.
“Mereka melihat kita (BN) bekerja untuk rakyat, bukan untuk menang pilihan raya sahaja... apabila kita tetap bekerja membela nasib mereka walaupun kita kalah di kawasan itu, ini menyebabkan mereka kembali yakin kepada BN dan MCA,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2018 anjuran MCA Melaka di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di Jalan Kubu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCA Melaka Datuk Lim Ban Hong dan kira-kira 5,000 rakyat daripada pelbagai kaum. ― Bernama
Sumber BN ikhlas tawan hati pengundi Cina, kata Idris