Harapan terakhir penyokong Selangor

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilihat sebagai usaha terakhir mendesak kerajaan negeri membenarkan skuad Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam.

Timbalan presidennya, Mohamad Haniff Rana mengakui peluang pasukan kesayangan mereka kembali ke Stadium Shah Alam tampak mustahil musim ini selepas skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi pasukan ketiga dibenarkan menggunakan gelanggang itu.

Namun beliau menegaskan perjuangan penyokong belum berakhir.

"Memang amat mendukacitakan apabila PDRM dibenarkan bermain di Stadium Shah Alam sedangkan penyokong bersungguh-sungguh mendesak agar Selangor kembali ke stadium asal mereka. Memang susah situasi sekarang, mana ada satu stadium empat pasukan guna pula.

"Bagi saya, bila PDRM boleh guna stadium dan permohonan FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) tidak diterima, ini mesej jelas bahawa hubungan FAS dan kerajaan negeri tidak baik.

"Kami tak tahu nak cakap apa lagi, kami sudah berusaha dengan mendesak pihak kerajaan negeri dan dalam hal ini, Menteri Besar (Datuk Seri Azmin Ali) yang berkuasa jadi penyokong tak boleh buat apa. 

"Apa yang kami harapkan adalah untuk bertemu dengan Sultan Selangor bagi menyelesaikan isu ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar ini semalam melaporkan peluang skuad Red Giants yang kini menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kembali ke Stadium Shah Alam seakan tertutup apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan Stadium Shah Alam turut digunakan PDRM selain PKNS FC dan FELCRA FC.

BBPS sebelum ini sudah menyerahkan memorandum kepada FAS dan kerajaan negeri supaya menyelesaikan kemelut dalaman demi kepentingan pasukan dan penyokong Selangor.

Haniff berkata, penyokong kini bergantung harapan kepada Sultan Selangor untuk campur tangan dalam isu berkenaan.

"Pada kami jalan terakhir adalah dengan bertemu Sultan Selangor untuk campur tangan kerana Stadium Shah Alam adalah hak rakyat. Sama ada boleh guna stadium ini atau tahun depan, kita tetap harapkan ada jalan penyelesaian," katanya.



Sumber Harapan terakhir penyokong Selangor

Post a Comment

Previous Post Next Post