Juruteknik dibebaskan dari tuduhan mengedar dadah

GEORGETOWN: Mahakamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini membebaskan seorang juruteknik berusia 27 tahun daripada tuduhan mengedar dadah yang didakwa dilakukannya pada 2014.

Hakim Datuk Azmi Abdullah melepaskan dan membebaskan tertuduh, Ahamad Asyraf Mansor atas pertuduhan mengedar 1.6 kilogram ganja atau kanabis selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Ahamad Asyraf sebelum ini ditahan polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Kampung Guar, Tasek Gelugor jam 1.30 petang pada 7 Oktober 2014 sebelum didakwa membawa bersamanya sejumlah dadah.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketika membacakan penghakimannya, Azmi, berkata Ahamad Asyraf sudah meninggalkan keretanya di kampung beberapa hari sebelum menggunakannya pada hari dia ditahan polis.

Ketika ditahan dalam sekatan jalan raya, tertuduh tidak menujukkan sebarang reaksi untuk melarikan diri, dan menunjukkan dia tidak mengetahui bahawa dadah itu berada di dalam keretanya.

Walaupun milik tertuduh, namun kereta itu masih boleh digunakan orang lain, jadi ada kemungkinan bahawa dadah itu diletakkan di situ sebelum dia membawa keretanya.

"Selain itu, adik tertuduh mengakui bahawa melihat bungkusan beg plastik yang mengandungi dadah itu sebelum abangnya menggunakan kereta," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga Ahamad Asyraf dilihat menangis selepas mendengar keputusan daripada hakim.



Sumber Juruteknik dibebaskan dari tuduhan mengedar dadah

Post a Comment

Previous Post Next Post