Kau Perlu Sedar Kenapa Pentingnya Menjaga Alam Sekitar

“Dik, kedai kami ada je menyediakan polisterin.” Usik brader warung makan sambil tangannya menunjuk ke arah polisterin di hujung meja. Aku ketawa. Sajalah tu. Bukan dia tak tahu aku selalu bawa bekas sendiri.

“Dia jaga alam sekitar. Mana boleh dia guna polisterin.” Sambung brader designer kedai printing bawah office yang berdiri di bahagian lauk-pauk. Brader ni, aku pernah berurusan untuk hal-hal printing KUASA sebelum ni. Waktu tu dia ada tanya KUASA tu apa benda, buat apa dan sebagainya.

“Plastik nak? Sudu plastik nak? Tisu nak?” Brader warung mengusik lagi waktu aku nak bayar. Bila aku geleng kepala dia gelak-gelak. Geram je aku tengok.

Group Whatsapp Friends of KUASA malam tadi berdiskusi secara harmoni mengenai sampah. Tanpa ada ‘mood’ untuk menyampuk, aku simpulkan bahawa masalah kita dengan alam sekitar ini adalah sikap selalu mahu yang mudah.

Sepanjang tempoh berlatih mengamalkan kehidupan ‘sustainable’, aku akui, membawa bekas makanan, menyediakan shopping bag ketika membeli-belah adalah kerja renyah. Aku kena rancang, sentiasa bersedia dan membulatkan tekad.

Dengan persekitaran yang tidak mendorong kepada amalan “Reduce” dan “Reuse”, yang mana plastik dan polisterin ditawarkan dengan mudah dan murah, untuk kekal berada di landasan ini bukan alang-alang punya mujahadah.

Setiap tahun, kita mengunakan 1.6 juta barel minyak untuk menghasilkan botol plastik yang hanya akan lupus 450-500 tahun kemudian. Setiap tahun, 18 bilion lampin pakai buang dibuang dan satu-satu lampin itu mengambil 250-500 tahun untuk terurai. Tin aluminiminum, mengambil 80-200 tahun untuk terurai sempurna. Tuala wanita pula, 500-800 tahun, manakala puntung rokok sepanjang 2.5 sentimeter tu, 10-20 tahun tempohnya. Polisterin dan kerajang timah lebih tragis. Sejenis sampah abadi – dicipta untuk tidak terurai di muka bumi! Dengan angka ratus-ratus tahun ini, apa jenis dunia yang akan kita tinggalkan kepada anak-anak nanti?

Jadi, walaupun ‘sustainable life’ ni tak mudah, tak seksi dan tak fun, aku kena juga selalu ingatkan diri sendiri, lagi-lagi sebab menyaksikan dengan mata kepala bagaimana Teluk Mengkudu yang indah, yang berada dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Segari, Perak hancur teruk akibat dijadikan pusat pelupusan sampah. Melihat sisa pepejal di situ yang tergolek masuk ke laut membuat hati aku jatuh tergolek juga, dan merasa tidak layak dimaafkan oleh generasi di masa hadapan.

Sebagai individu, aku terlalu kerdil untuk menentang pihak yang punya autoriti besar. Dalam keterbatasan ini, mengurangkan penggunaan adalah yang termampu dilakukan. Emak pula, selepas melihat apa yang aku lakukan berkata akan berlatih juga membawa beg sendiri walaupun untuk ke kedai runcit di belakang rumah dan keberkesanan amalan terhadap ahli keluarga sendiri ini, sangatlah melegakan.

Cuma, pada ketika kempen mengurangkan sampah ini bukan main payah hendak didorong ke depan, kenapa tiba-tiba muncul ahli politik entah berapa tan sampah terkandung di kepalanya menjadikan plastik 20 sen sebagai modal kempen pilihanraya? Dan, kenapa kita rasa okey orang sebusuk ini duduk di kerusi kepimpinan?

p/s : Gambar adalah sampah-sarap tinggalan pengunjung di sekitar Teluk Senangin. Dijadikan karya seni oleh saudara Aepool Sanggar Raya baru-baru ini. Lokasi di Kem Kuasa KitaR.

Naziatul Azrin


Sumber Kau Perlu Sedar Kenapa Pentingnya Menjaga Alam Sekitar

Post a Comment

Previous Post Next Post