KUALA LUMPUR, 22 Feb — Roti jala yang dimakan dengan kuah kari memang kegemaran ramai tetapi selalunya saiz hidangan ini kecil sahaja.
Di Pulau Pinang, lebih tepat di pekan Teluk Bahang, sebuah warung menjual roti jala “gergasi”, sebesar 2 kaki, berbeza saiz biasa 4 hingga 6 inci.
Selalunya ia dilipat-lipat agar nampak lebih menarik dan mudah disajikan dengan kuah kari dan suji yang putih, kuah unik di negeri ini.
Belimbing Cafe Corner sudah dibuka sejak 1998 di Jalan Teluk Bahang.
Pemiliknya Mohd Nor Ariffin, 57, menjelaskan roti jala saiz besar yang dibuatnya telah lama ada di negeri itu, cuma ia tidak diketahui umum.
“Saya dapat ilmu daripada seorang mak cik dan kali pertama buat roti jala besar bila arwah datuk saya teringin nak makan,” katanya kepada ProjekMMO.
“Selepas itu saya cuba buka kedai, entah macam mana tiba-tiba dapat sambutan, orang suka sebab makan dua keping kenyang sampai tengah hari.”
Mesra disapa Pak Non, beliau berjaya menjual sebanyak 10 kilogram roti jala dan perlu ditambah kepada 15 kilogram ketika hari cuti umum.
Sajian istimewa itu dimakan dengan kuah kari daging atau ayam. Satu set roti jala gergasi dengan teh tarik atau teh O dan kuah sahaja RM2.
Biasanya pelanggan akan meminta lauk daging atau ayam di dalam kuah. Semangkuk kecil kuah dengan daging RM3, manakala ayam pula RM4.
Pelanggan juga boleh menikmatinya dengan kuah dalca atau sambal tumis ikan bilis. Roti canai biasa dan telur turut disediakan di warung Pak Non.
Kedainya dibuka 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari kecuali Isnin.
Belimbing Cafe Corner di depan Balai Rakyat Teluk Bahang, di tepi bulatan kecil, dan hanya 100 meter sebelum masjid jamek jika dari Batu Ferringhi.
Boleh taip Belimbing Cafe Corner di aplikasi peta Google telefon anda. Hubungi 012 597 8739 atau 017 495 2045 untuk pertanyaan atau tempahan.
Sumber Murah, roti jala ‘gergasi’ unik di Teluk Bahang