
IPOH: Perak mungkin tidak dapat menurunkan kapten, Mohd Nasir Basharuddin dan Ahmad Khairil Anuar Zamri ketika memulakan kempen Liga Super 2018 bertemu Pahang dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.
Ini kerana kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan dan jurulatih Mehmet Durakovic mahu menunggu dan lihat perkembangan terkini mereka.
"Saya mahu lihat dulu tahap kecederaan mereka sebelum buat sebarang keputusan. Sudah tentu kemampuan kami terjejas tanpa mereka nanti.
"Apapun saya sudah bersedia menghadapi kemungkinan tidak dapat menurunkan mereka kerana saya ada pengganti bersesuaian," kata Durakovic di sini sebelum berlepas ke Kuantan.
Selain Nasir dan Ahmad Khairil yang dipanggil Beto, Durakovic berkata Mohd Hafiz Kamal juga tidak dapat diturunkan apabila dia masih menjalani pemulihan selepas pembedahan.
Begitupun katanya, lain-lain pemain sudah bersedia untuk memulakan kempen musim ini.
"Pemain sudah bersedia untuk memulakan cabaran selepas menjalani latihan intensif serta menguji kemampuan dalam perlawanan pra-musim.
"Melalui kesemua perlawanan itu, persefahaman dan keserasian sepasukan dibentuk dan semangat kekitaan dipupuk," katanya.
Durakovic juga memberi bayangan untuk menurunkan semua lima importnya malam esok.
"Jika boleh saya mahu menurunkan semua import untuk memperkuatkan pasukan. Ini perlawanan pertama jadi kami tidak mahu bermula dengan langkah kiri," ujarnya.
Jurulatih itu bagaimanapun mengakui Perak berhadapan tugas berat dalam perlawanan ini menyedari lawan ditemui bukan calang-calang pasukan.
"Kami berdepan pasukan kedua terbaik musim lalu. Jadi pemain Perak perlu lebih berhati-hati serta tidak melakukan sebarang kesilapan," katanya
Sumber Nasir, Beto mungkin tidak beraksi di Kuantan