Nita kecewa diminta berhenti menyanyi

PETALING JAYA: Bekas naib juara Malaysian Idol musim kedua, Nita Hamzah mengakui, terkilan apabila segelintir netizen memintanya supaya berhenti menyanyi hanya kerana bintangnya tidak secerah penyanyi lain.

Walaupun kecewa, Nita atau nama lengkapnya, Norhanita Hamzah, 38, berkata perkara itu tidak langsung mematahkan semangat kerana masih ada pihak yang percaya dengan bakatnya.

"Saya ada terbaca komen netizen yang mahu saya berhenti menyanyi. Mereka beranggapan, bakat saya tidak diperlukan industri. Komen seperti itu pernah membuat saya berputus asa.

"Tetapi apabila melihat segelintir pihak yang positif memberikan kata semangat, perasaan kecewa itu hilang. Dorongan mereka memberikan saya bersemangat untuk terus mencuba," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun penyanyi, Datin Alyah di Mutiara Damasara, di sini, baru-baru ini.

Selepas 10 tahun tidak merakamkan lagu baharu, Nita kini muncul dengan single, Hadirlah Kekasih ciptaan Sharon Paul, manakala lirik oleh Iman Imran.

Sementara itu, mengulas imej seksi yang sering dilabelkan kepadanya, penyanyi tinggi lampai itu berkata, dia sudah mula melakukan perubahan seiring dengan pertambahan usia.

"Berbanding awal kemunculan, rasanya penampilan saya sekarang tidak lagi seseksi dahulu. Saya bergaya mengikut kesesuaian acara atau majlis yang dihadiri. Mujur tunang dan keluarganya memahami situasi saya.

"Secara peribadi, ada yang melihat saya seksi bukan kerana penampilan, sebaliknya lebih kepada pembawaan diri. Saya bingung dikatakan seksi, sedangkan baju yang digayakan tidak mendedahkan susuk tubuh," katanya yang kini kembali dengan imej rambut pendek.



Sumber Nita kecewa diminta berhenti menyanyi

Post a Comment

Previous Post Next Post