Razman akui Selangor bukan pencabar utama

KUALA LUMPUR:  Kapten Selangor, Razman Roslan menganggap pasukan itu belum layak bergelar pencabar utama Liga Super musim ini sekalipun memulakan kempen dengan dua kemenangan daripada tiga perlawanan.

Razman berkata, kekalahan 1-4 kepada Terengganu FC 1 (TFC 1) pada 10 Februari lalu menelanjangkan kelemahan pasukan itu yang perlu segera diatasi.

"Berdasarkan keputusan tiga perlawanan setakat ini serta kedudukan dalam carta liga, ia seolah-olah petanda baik untuk Selangor  tapi hakikatnya tidak begitu.

"Saya beranggapan Selangor belum cukup bagus untuk menjadi pencabar kepada pasukan seperti JDT (Johor Darul Ta'zim), Kedah, Pahang dan Perak.

"Saya boleh katakan persembahan kami sangat menakjubkan ketika mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 dan Melaka (United) 4-1. Sebaliknya,  prestasi kami sangat mengejutkan apabila dikalahkan pula 4-1  oleh Terengganu. 

"Kelemahan utama kami pada perlawanan dengan Terengganu itu adalah kegagalan pemain mengikut taktikal direncanakan jurulatih terutama semasa bertahan.

"Malah, dalam perlawanan itu, kami gagal bermain sebagai satu unit sebagaimana ditunjukkan ketika menentang Kuala Lumpur dan Melaka," kata Razman.

Justeru, Razman menganggap tempoh rehat selama hampir dua minggu adalah masa terbaik untuk The Red Giants memperkemaskan pasukan sebelum liga bersambung pada 24 Februari dengan Pahang bakal menjadi lawan mereka.

Selangor kini menduduki tangga ketiga  dengan enam mata hasil dua kemenangan, hanya dipisahkan satu mata dengan pendahulu liga, PKNS FC sementara JDT di tangga kedua juga dengan enam mata.

"Jarak mata semua pasukan tidak banyak beza, justeru Selangor perlu konsisten dalam setiap perlawanan jika mahu bergelar pencabar utama," kata pemain berpengalaman itu.



Sumber Razman akui Selangor bukan pencabar utama

Post a Comment

Previous Post Next Post