LYON: Perompak menyamar sebagai tukang paip menculik anak perempuan seorang pemandu van tunai dan menuntut kandungan kenderaan itu sebagai wang tebusan, melarikan diri bersama lebih 20 juta euro (RM96.86 juta).
Penculikan itu, yang menyerupai plot filem aksi Hollywood berlaku semalam berhampiran sempadan Perancis-Switzerland.
Kejadian berlaku pada sebelah petang di bandar tenggara Perancis di sini, apabila dua lelaki berpura-pura sebagai tukang paip menculik seorang wanita muda dari pangsapurinya, kata sumber rapat dengan siasatan kepada AFP.
Mereka kemudian menyumbat mangsa ke dalam kereta dan rakan subahat menelefon bapa wanita itu, bekerja untuk sebuah syarikat Swiss yang mengangkut wang antara syarikat dan bank, bagi menuntut wang tebusan.
Bapa itu, tinggal di bandar sempadan Perancis di Annemasse, sedang bekerja menghantar wang tunai apabila panggilan dibuat, lapor radio Europe 1.
Penyiasat berkata, dia bersetuju bertemu penculik di tempat letak kereta menyeberangi sempadan di sebelah Switzerland bagi menyerahkan kandungan van itu.
Polis di bandar Swiss di Vaud berkata, bapa itu dalam perjalanan ke bandar Lausanne dan terpaksa keluar dari lebuh raya untuk bertemu perompak di tempat letak kereta.
"Beberapa lelaki bersenjata yang menunggu van itu memaksanya keluar dari kenderaan itu. Mereka kemudian menahan pemandu, mengosongkan kandungan van serta melarikan diri menaiki SUV Porsche berwarna gelap," kata polis dalam kenyataan hari ini.
Sumber polis Perancis berkata, van itu membawa antara 20 dan 30 Swiss francs (RM82.33 juta dan RM125.91 juta).
Jurucakap polis di Vaud enggan mengesahkan jumlah sebenar. Anak perempuan pemandu, berusia 20-an, ditemui tidak dicederakan sekitar jam 10 malam di sebatang jalan di pinggir Lyon.
Polis Perancis berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijangka mengambil masa. -AFP
Sumber Rompakan ala Hollywood di Perancis