KUALA LUMPUR: Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) melancarkan logo baharu, yang memfokuskan kepada komitmen dan pembabitan sekolah terhadap tinjauan global serta industri.
Ia adalah antara langkah yang diambil AAGBS dalam usaha melahirkan pemimpin industri profesional.
Pengasasnya, yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub, berkata universiti adalah tempat menarik yang bakal melahirkan golongan pengubah dunia.
"Anak muda yang bakal menjadi pelapis digesa untuk menjadi lebih berani kerana masanya sudah tiba dan mereka perlu pantas mengikut arus perubahan.
"Generasi ini perlu lebih berdaya saing dalam menghadapi persaingan dalam era yang penuh cabaran sama ada gangguan, ketidakpastian dan kegagalan.
"Sekolah perniagaan ini menjadi platform terbaik dalam melahirkan golongan bijak pandai, berpengetahuan dan cekap menangani masalah yang dihadapi pengamal industri," katanya.
Majlis pelancaran yang berlangsung pada Majlis Makan Malam Gala di Hotel Majestic itu disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Yang turut berangkat, Tengku Permaisuri Norashikin.
Sementara itu, Kumpulan Top Glove Corporation Bhd turut menyumbangkan RM100,000 kepada UiTM yang disampaikan oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai kepada Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Hassan Said.
Majlis berkenaan juga menjadi platform untuk meningkatkan dana dan biasiswa bagi membiayai penyelidikan dan menambahbaik kemudahan di UiTM.
Sumber Sultan Selangor lancar logo AAGBS