Bintang filem terkenal India yang dianggap ikon dan legenda, Sridevi meninggal dunia di Dubai akibat serangan jantung malam semalam pada usia 54 tahun. Sridevi berada di Dubai kerana menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarganya.
Beliau yang mula berlakon seawal usia empat tahun dianggap sebagai bintang filem sejati India kerana telah berlakon di dalam filem-filem pelbagai bahasa di negara berkenaan termasuk Tamil, Telugu, Malayalam, Kannada dan Hindi.
Selama lebih lima dekad terbabit dalam bidang perfileman, Sridevi akan dikenang sebagai sebagai legenda yang membintangi lebih 150 filem seperti Nagina, Mr. India, Lamhe ChaalBaaz, Kshana Kshanam, Meendum Kokila dan 16 Vayathinile.
Sepanjang perjalanannya sebagai pelakon, Sridevi telah menerima empat anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filmfare dan dicalonkan sebanyak lapan kali untuk kategori sama di anugerah berkenaan. Beliau berkahwin dengan pengarah dan penerbit terkenal, Booney Kapoor yang juga abang kepada pelakon terkenal, Anil Kapoor dan Sanjay Kapoor. Sebelum itu pada tahun 1985 Sridevi pernah berkahwin dengan seorang lagi legenda, Mithun Chakraborty, namun pasangan berkenaan bercerai pada tahun 1988.
Filem terakhir beliau ialah Mom yang ditayangkan pada tahun 2017 dan lakonan Sridevi menerima pujian tinggi daripada pengkritik.
Selamat jalan legenda.
Sumber Selamat Jalan Sridevi