Sultan Johor `kongsi' koleksi peribadi

SERDANG: Bas, lori dan jentera Harley Davidson adalah antara koleksi peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, yang akan dipamerkan sempena Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW2018), bulan depan.

Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata pembabitan baginda dalam pameran tiga hari, mulai 23 Mac ini adalah pendekatan Raja Johor untuk mendekati rakyat.

"Sultan Ibrahim berkenan untuk turun padang meluangkan masa bersama dengan rakyat bagi meraikan program jambori permotoran pertama di negara ini.

"Bagi memeriahkan suasana dan menarik kunjungan ramai, baginda bersetuju mempamerkan koleksi peribadi bas dan lori, selain motosikal 'gergasi'," katanya kepada NSTP ketika melawat tapak MBW2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung GPMOTO, Datuk Sulaiman Samia'an.

Ab Rauf yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, penganjuran pameran berkenaan bukan sekadar untuk manfaat peminat motosikal berkuasa tinggi, sebaliknya saluran terbaik bagi mendidik masyarakat terutama belia mengenai kepentingan aspek penyelenggaraan bagi menjamin keselamatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, MBW2018 akan menampilkan beberapa ikon sukan permotoran untuk berkongsi pengalaman dengan pengunjung.

MBW2018 yang dijangka menarik kehadiran 100,000 peserta, termasuk dari luar negara turut menawarkan 40 motosikal Yamaha Y125Z dan pelbagai aksesori sebagai hadiah cabutan bertuah.



Sumber Sultan Johor `kongsi' koleksi peribadi

Post a Comment

Previous Post Next Post