Oleh itu, tidak hairanlah dia sukar menolak tawaran mengarahkan filem One, Two, Jaga yang memaparkan isu warga asing dan gejala rasuah dalam masyarakat.
“Subjek yang cuba diketengahkan dalam filem ini sudah lama bermain di fikiran.
“Isu pendatang asing dan rasuah memang antara subjek kegemaran sejak dulu.
“Cerita dalam genre ini sangat dekat dengan masyarakat kerana ia kisah realisme persis cermin yang memantulkan diri kita,” katanya.
Mengulas mengenai filem One,Two,Jaga, kata Namron, dia mendapat inspirasi daripada pekerja landskap warga Indonesia.
“Warga Indonesia itu menceritakan pengalamannya membantu rakan yang juga pendatang asing ditahan polis di tepi jalan.
“Cabaran paling besar adalah menghasilkan lakon layar bermula dengan idea dan mahu kembangkan menjadi naratif,” katanya.
Namron ditemui pada sidang media filem One Two Jaga yang berlangsung di Sungei Wang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Namron juga menghasilkan naskhah itu bersama barisan penulis skrip iaitu Ayam Fared, Allayarham Amri Rohayat, Mohd Syafiq dan Pit Hanif.
“Skrip ini juga perlu mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum penggambaran diluluskan.
“Proses ini satu cabaran besar buat kami.
“Pihak kami mahu menghasilkan naskhah ini sebagai filem, tetapi polis tidak mahu karya ini mencalarkan imej PDRM.
“Dengan kerjasama yang kami berikan akhirnya permasalahan itu dapat diselesaikan tanpa menjejaskan jalan cerita dan pengisiannya,” katanya.
Ditanya pemilihan pelakon pula, kata Namron, ia bersandarkan bakat lakonan mereka.
“Barisan pelakon dalam filem ini terdiri daripada mereka yang sudah membuktikan kehebatan dalam lakonan.
“Saya percaya pemilihan pelakon yang bagus dapat mengukuhkan penceritaan dalam sesebuah projek filem.
“Filem ini juga akan membawa penonton menyelami permasalahan rasuah dan pendatang asing dan bukannya menuding jari kepada pihak berkuasa atau menjadi alat propaganda untuk mana-mana pihak,” katanya.
Selain Bront Palarae sebagai penerbit, filem itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Sofia Jane, Zaidi Omar dan pelakon Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail.
Filem untuk pasaran antarabangsa
Namron mengakui One, Two, Jaga diterbitkan untuk membawa filem tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menurutnya, dia dan Bront memang sudah berjanji mengenai perkara itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ketika memohon dana pembangunan untuk memulakan projek itu.
“Namun, kami tidak pula mengetepikan rakyat tempatan kerana bagi saya projek ini daripada rakyat untuk rakyat.
“Kejayaan filem ini juga adalah untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Namron turut menafikan projek itu tertangguh sebaliknya ia mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan bagi memastikan ia bukan sekadar filem.
“Filem ini bermula pada 2014 apabila Bront dan saya duduk berbincang untuk menghasilkan projek bersama.
“Oleh itu, pihak kami hasilkan pravisual seperti trailer berjudul One, Two, Jaga sebagai kertas cadangan untuk mencari pembiayaan projek ini,” katanya.
Apa yang memberangsangkan, kata Namron, pihaknya juga memenangi tempat kedua ketika menyertai pembentangan idea dan kertas cadangan projek filem One, Two, Jaga di SAFF Projek Market di Singapura.
“Kemenangan itu juga mendorong FINAS memberi dana pembangunan dan akhirnya kami memulakan pengambaran filem ini pada pertengahan 2016.
“Pada pertengahan 2017, kami kembali ke lokasi penggambaran bagi menambahkan impak dalam naratif filem ini.
“Filem ini akan menjengah pawagam tahun ini,” katanya.
Ditanya pengalaman bekerja dengan Bront pula, Namron berkata sahabatnya itu mempunyai visi dan citarasa tinggi.
“Bront seorang yang tidak mudah berpuas hati dan mahukan yang terbaik.
“Dia bukan sekadar penerbit, tetapi pengarah dan pelakon yang saya hormati.
“Kami juga jatuh dan bangkit bersama-sama untuk menghasilkan filem ini,” katanya.
Sumber Amat dekat dengan masyarakat