Apa dah jadi dengan Nasi Kak Wook?

 Biarpun dipatenkan pada 2014, masih ada individu mengambil kesempatan menggunakan jenama Kak Wook ataupun ala-ala Kak Wook  bagi mengaut keuntungan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada peniaga menggunakan nama Kak Wook untuk melariskan jualan mereka, malah harga untuk sebungkus nasi juga sama iaitu sekitar RM4 hingga RM5 sebungkus bergantung kepada kuantiti lauk pauknya.

Menyedari atau tidak ia satu kesalahan, hanya peniaga terbabit yang tahu atau mereka sengaja mengambil peluang di sebalik tersohornya nama Kak Wook.

Nasi Kak Wook terkenal sejak 1970 di Kelantan diasaskan oleh Allahyarham Mek Wook Hassan, yang ketika itu bermula di Lundang, Kota Bharu.

Nasi berlauk itu bukan setakat terkenal di negeri ini bahkan di luar negeri Cik Siti Wan Kembang.

Namun kini selepas 48 tahun, perniagaan yang diusahakan pewarisnya mulai terjejas dan imej Nasi Kak Wook yang sebelum ini meniti di bibir mulut kerana kesedapannya mula terhakis sedikit demi sedikit, bahkan timbul pula cerita lain.

Perkara itu diakui sendiri Mastura Ibrahim, iaitu anak keempat Allahyarham Mek Wook yang kini gigih meneruskan perniagaan ditinggalkan ibunya bersama adik-beradik dan sanak saudaranya.

Mastura berkata, jika dahulu mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang singgah makan di enam cawangan sah Nasi Kak Wook. namun kini perniagaan yang masuk generasi ketiga itu beransur-ansur hilang seri dan tarikan.

“Jenama Nasi Kak Wook ini telah diguna secara meluas tanpa kebenaran kami sebagai pemilik asal sehingga menyebabkan timbul pelbagai masalah dan memberi tekanan kepada kami.

“Memang memberi kesan. Jika dulu cukup meriah, bising dengan bunyi periuk, ayam goreng tidak berhenti-henti. Tetapi sekarang pelanggan yang pergi pun bagi tahu sunyi, di kedai asal masih ada pengunjung lagi,” katanya kepada media di Telipot, semalam.

Bukti pendaftaran paten Nasi Kak Wook dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
Mastura menegaskan, cawangan Nasi Kak Wook ada enam sahaja di Kelantan iaitu di belakang KBMC, Jalan Pasir Hor-Telipot, Taman Sari, depan Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, Bandar Baharu Kubang Kerian dan Bandar Satelit Pasir Tumboh.

“Saya mahu tekankan, kami hanya ada enam cawangan iaitu di sekitar Kota Bharu bukan di luar Kelantan. Sabah dan Sarawak pun bukan cawangan kami. Selain itu maksudnya bukan kami,” katanya.

Menurutnya, disebabkan terlalu banyak kedai menggunakan jenama Kak Wook termasuk juga di Kuala Lumpur menyebabkan ada pelanggan salah faham dan merungut mengenai kebersihan serta kualiti makanan.

“Kalau pelanggan di kedai asal di belakang KBMC dia boleh nilai (original atau tidak). Kami tengok warna pun kami dah kenal.

“Kualiti terletak kepada cita rasa setiap pelanggan. Ada yang kata sama dan lebih kurang sama dengan lain. Kalau saya sendiri rasa mesti ada beza,” katanya.

Penggunaan jenama Kak Wook oleh pihak lain bukan sahaja menjejaskan imej pemilik asalnya, bahkan mereka juga kini terhimpit dengan buruan pemiutang yang tidak dikenali.

“Pihak berkuasa juga salah anggap, sangka kami ada banyak cawangan di seluruh Malaysia dan ingin kenakan GST bagi setiap bungkus nasi yang dijual.

“Tetapi perkara ini telah diperjelaskan dan pihak saya tidak ada kena mengena dengan peniaga lain,” katanya.

Pun begitu, Mastura masih memberi peluang selama tiga bulan kepada semua peniaga di Kelantan dan luar negeri ini yang menyalahgunakan nama Kak Wook untuk tampil berbincang sekiranya berminat membuka francais sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Kami tahu mereka di luar sana ada semangat berniaga. Itu tidak salah, tetapi bincanglah dengan pemilik asal, jangan guna nama Kak Wook sesuka hati,” katanya.

Dalam pada itu peguamnya, Zahari Affendi  berkata, pihaknya telah mengeluarkan 10 notis amaran kepada peniaga di sekitar Kuala Lumpur supaya memberhentikan penggunaan jenama Kak Wook.

Katanya, daripada jumlah tersebut, hanya satu premis yang memberi maklum balas dan selebihnya tetap meneruskan perniagaan mereka.

“Terdapat salah faham dalam kalangan peniaga yang berasakan itu hak mereka untuk menjual Nasi Kak Wook.

“Apa yang kita tekankan di sini, bukan tidak bagi jual nasi tetapi tidak boleh guna jenama Kak Wook. Kalau mereka hendak jual nasi jenama mereka sendiri itu tidak menjadi masalah,” katanya



Sumber Apa dah jadi dengan Nasi Kak Wook?

Post a Comment

Previous Post Next Post