Doktor mengesahkan mangsa yang berumur 15 tahun mengandung ketika dibawa ibunya ke Hospital Kemaman di Chukai kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.
Pengesahan doktor itu turut membuatkan ibu mangsa yang berusia 35 tahun terkejut kerana sebelum itu dia membawa anaknya ke hospital ekoran anaknya mengadu tidak sihat.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa mengadu tidak sihat termasuk mengalami muntah serta tidak berselera untuk makan.
"Ibu mangsa yang bimbang dengan keadaan anaknya bertindak membawa mangsa membuat pemeriksaan di hospital sebelum doktor mengesahkan pelajar itu sudah hamil tiga minggu.
"Tergamam dan terperanjat mengetahui keadaan anaknya, ibu mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chukai beberapa jam kemudian untuk tindakan lanjut," katanya.
Susulan laporan polis yang diterima, Mohd Said berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan sebelum membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 18 tahun pada hari yang sama.
Kata beliau, siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Sumber Pelajar dinoda hamil