Dua beranak dipenjara, sorok geng Abu Sayyaf

Hakim menasihati kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam agar tidak mengulangi kesalahan sama. ― Foto oleh Yusof Mat Isa Hakim menasihati kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam agar tidak mengulangi kesalahan sama. ― Foto oleh Yusof Mat Isa KUALA LUMPUR, 30 Mac ― Seorang bapa dan anak lelakinya dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana  menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dengan tidak mendedahkan identiti pengganas yang pernah bekerja dengan mereka, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Omar, 53, dan Jaffar Ahmad, 27, kedua-duanya buruh binaan warga Indonesia selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes mereka, hari ini.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Azman menasihati kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu agar tidak mengulangi kesalahan sama dan tindakan tertuduh melindungi pengganas dengan alasan serumpun dengannya, adalah tidak wajar.

“Yang kamu lindungi adalah pengganas, kalau kita kerjasama lapor (pengganas), sudah tentu aktiviti keganasan dapat dibanteras. 

“Kalau kamu tidak ada kesanggupan untuk melaporkan pada pihak polis jangan bawa mereka (penjenayah) bekerja dengan kita,” katanya yang memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 30 Ogos 2017.

Ahmad kemudian menjawab “bisa, bisa,” manakala Jaffar mengangguk-anggukkan kepalanya.

Terdahulu Ahmad yang telah 28 tahun tinggal di Malaysia menangis di kandang tertuduh merayu hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga termasuk enam orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira keseriusan kes keganasan yang semakin meningkat di negara ini.

Ahmad dan Jaffar masing-masing didakwa dalam pengetahuan mereka dengan sengaja  menyembunyikan maklumat berkenaan Hajar Abdul Mubin adalah anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf. 

Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Hulu Langat, di sini antara 1 Mac 2017 dan 30 Ogos 2017 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130M kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah dan merampas telefon bimbit daripada kedua-dua tertuduh dan hasil siasatan mendapati mereka  mempunyai pengetahuan bahawa Hajar atau dikenali sebagai ‘Abu Asri’ telah menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf, diajar menggunakan senjata api dan pernah berperang di Filipina.

Keterangan turut menunjukkan Abu Asri lama berada di Malaysia sejak 2011 dan pernah bekerja dengan Ahmad sebagai buruh binaan dan kedua-dua  tertuduh  mengetahui Abu Asri menyertai kumpulan pengganas Abu Sayyaf tetapi mereka gagal memberikan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. ― Bernama 



Sumber Dua beranak dipenjara, sorok geng Abu Sayyaf

Post a Comment

Previous Post Next Post