KOTA KINABALU: Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berhempas pulas sebelum menang 2-1 terhadap Sabah dalam aksi pusingan kedua Piala FA, di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Pasukan JDT terlebih dulu berpeluang mendahului menerusi cubaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-5, namun, rembatannya di dalam kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.
Beraksi di hadapan lebih 21,000 penyokong, tuan rumah berjaya memperoleh gol pendahuluan pada menerusi Lee Gil Hoon pada minit ke-24.
Gol itu berpunca hasil gerakan satu dua antara Gil Hoon dengan Hector Omar Ramos yang kemudiannya disudahkan dengan baik bagi menjadikan kedudukan 1-0 dan ia kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperoleh jaringan pada minit ke-50 tetapi cubaan Ramos sekadar melepasi palang gol.
GILHOON Lee (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama Sabah ketika bertemu JDT, malam tadi. - Foto Lano Lan
JDT kemudian berjaya menyamakan kedudukan menerusi Luciano Gabriel Figueroa pada minit ke-52 selepas memanfaatkan sepenuhnya situasi kelam kabut di dalam kotak penalti Sabah.
Pada minit ke-58, tuan rumah hampir mendapat gol kedua namun hantaran lintang Heo Jaenyong gagal disambar Ramos.
JDT kemudian memiliki peluang baik pada minit ke-83 namun cubaan pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid dari dalam kotak penalti tinggi melepasi palang gol untuk kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat 90 minit perlawanan dan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.
Pada minit keempat selepas tambahan masa, Gonzalo Gabriel muncul wira pelawat apabila meletakkan JDT di depan hasil rembatan kencangnya dari luar kotak penalti bagi menjadikan kedudukan 2-1.
JDT kemudian memiliki beberapa lagi peluang baik untuk menambah jaringan selepas itu namun dua cubaan pemain mereka berjaya dihalang Rendy.
Kedudukan 2-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan Mohd Zohri Tajudin meniupkan wisel penamat, sekali gus menyaksikan JDT mara ke pusingan seterusnya.
Sumber JDT atasi Sabah di Likas