TAIPING: Tindakan pakatan pembangkang mengadakan program ceramah di laluan masuk utama Kampung Bukit Jana, Kamunting, di sini, termasuk menggunakan treler sebagai pentas utama ceramah, malam tadi, menerima bantahan penduduk.
Berikutan itu, sepasukan anggota polis hadir kira-kira jam 8.30 malam meminta pihak penganjur mengalih dan mengeluarkan treler berkenaan dari kawasan berkenaan sebelum majlis bermula.
Ahli Dewan Undangan Negeri Aulong dari DAP, Leow Thye Yih dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim kelihatan cuba berunding tetapi gagal.
Penganjur kemudian mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan treler berkenaan sebelum menggunakan belakang sebuah pacuan empat roda jenis pikap sebagai pentas ceramah.
TRELER yang sepatutnya digunakan sebagai pentas ceramah dibawa keluar selepas bantahan penduduk di Ceramah Perdana Jelajah Pakatan Harapan negeri Perak di Kamunting. - Foto L.Manimaran
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, mengesahkan program dikenali sebagai Ceramah Jelajah Pakatan Harapan #Kamunting3.3 itu menerima bantahan penduduk.
"Ada laporan polis dibuat dan program berkenaan juga tiada permit," katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Sumber Penduduk bantah ceramah PH