Kerap Turun Naik Bukit Aman, Filem KL Special Force Dipantau Penuh Oleh PDRM

Kerap Turun Naik Bukit Aman, Filem KL Special Force Dipantau Penuh Oleh PDRM

Foto: Instagram/@thehitmannazri

Sebuah filem aksi kepolisan, KL Special Force bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 8 Mac ini. Diarahkan oleh pengarah yang popular dengan siri Abang Long Fadil, SAM dan Desolasi, Syafiq Yusof menggalas tanggungjawab sebagai pengarah yang pastinya memberikan impak yang besar pada penonton.

 

Mengeluarkan sebuah filem bercorak aksi kepolisan bukannya mudah kerana ia melibatkan organisasi polis. Filem terbitan Skop Productions ini padat aksi lagak ngeri dan hanya menggunakan 10 peratus kesan khas.

   

Berkesempatan menemubual tunjang Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan Syafiq Yusof,  beliau tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada filem KL Special Force tetapi mengharapkan kutipannya berada di paras yang baik. Memandangkan pasaran filem tempatan berada di dalam keadaan yang agak merudum kini, filem KL Special Force diharapkan mendapat tempat di hati peminat-peminat filem tanahair.

   

Memilih genre aksi kepolisan, filem arahan Syafiq dilihat berbeza dengan filem-filem Syamsul dan Datuk Yusof Haslam sendiri, "Syafiq membawa dimensi baru, terkenal sebagai pengarah yang suka 'twist' plot. Melibatkan hal-hal polis dan keselamatan negara, ia mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami berdua kerap naik turun Bukit Aman untuk semakan skrip, ada yang boleh, ada yang tak boleh, ada yang sensitif dan dari situ kami ambil pertimbangan untuk mengikuti peraturan yang telah ditetapkan", ujar Datuk Yusof Haslam.

 

Memilih untuk tidak menggunakan pakaian seragam PDRM untuk watak-watak utama filem ini, pemakaian seragam polis dan senjata menuntut etika dan integriti. Oleh sebab itulah mereka mahu filem ini tidak mencalarkan reputasi pihak PDRM.

   

Namun menurut Syafiq juga, ada beberapa elemen yang mahu dimasukkan ke dalam filem itu tetapi tidak dipersetujui PDRM, seperti gaya dan sikap watak yang agak tidak bersesuaian dengan etika seorang pegawai polis. "Ada beberapa babak yang mereka tidak setuju dan kita ambil jalan tengah untuk tidak melanggar peraturan. Namun idea asal filem ini tidak terjejas dengan adanya peraturan yang harus kami patuhi dari pihak PDRM ini. Dari segi skrip pun kami tak berani nak gunakan ayat yang melampau", jelas Syafiq lagi.

   

Untuk pengetahuan anda, KL Special Force adalah sebuah unit rekaan di dalam PDRM yang diadakan bertujuan menangkap sekumpulan perompak dalam filem ini sahaja.  "Seperti juga Gerak Khas, cawangan KL Special Force tidak wujud pun dalam PDRM. Ia sekadar sebuah fantasi dalam yang diterbitkan untuk tujuan drama dan filem. Cawangan itu hanyalah fiksyen. Sebagai penerbit dan pengarah, untuk merealisasikannya bukan mudah", jelas Datuk Yusof Haslam lagi. 

   

KL Special Force berkisarkan tentang sekumpulan unit khas PDRM yang diketuai oleh Roslan (Datuk Rosyam Nor), berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff (Syamsul Yusof). Seorang anggota polis muda bernama Zul (Fattah Amin) yang berjiwa besar diserapkan ke dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak, Asyraff mula memanipulasi perasaan, minda dan syakwasangka di antara Roslan dan Zul.

 

Sumber Kerap Turun Naik Bukit Aman, Filem KL Special Force Dipantau Penuh Oleh PDRM

Post a Comment

Previous Post Next Post