SUNGAI SIPUT: Tiga masjid sekitar daerah ini dipecah masuk awal pagi semalam, dan suspek bertindak memecahkan tabung masjid serta melarikan kamera litar tertutup (CCTV) selepas menyedari tempat ibadat itu dilengkapi kamera berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, penyamun bertindak lebih biadap apabila satu daripada masjid berkenaan diconteng dengan isyarat dan perkataan lucah pada tiang serta pada papan putih dalam masjid.
Kejadian membabitkan Masjid Ijtihadiah, Kampung Simpang Temin; Masjid Ar Rahmaniah, Felda Lasah dan sebuah lagi masjid di Kampung Perlop Dua, dekat sini dan kejadian berlaku antara jam 11 malam hingga 5.30 pagi.
Siak Masjid Ijtihadiah, Ismail Abd Rani, 64, berkata kejadian disedarinya jam 6 pagi sebaik tiba di masjid untuk solat subuh dan melihat tabung dan beberapa barangan lain berselerak dalam masjid.
Pengerusi Masjid, Johari Ahmad menunjukkan tiang yang dilukis gambar lucah di dalam Masjid oleh penjenayah di Masjid Ijtihadiah Kampung Simpang Temin Sungai Siputi. - Foto L. Manimaran
"Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa notis peringatan masjid dicabut dan lebih mengejutkan apabila tiang dan papan putih masjid diconteng serta ditulis perkataan lucah.
"Ini kerja orang yang 'terlebih pandai' kerana sanggup lukis gambar lucah dalam masjid, dan saya serta jemaah doa agar mereka diberi hidayah serta bertaubat atas perbuatan yang dilakukan ini," katanya.
Setiausaha Masjid Ar Rahmaniah, Hamzah Mat Ali, 52, yang ditemui pula berkata, berdasarkan rakaman CCTV terdapat tiga lelaki memasuki kawasan masjid jam 3.22 pagi semalam.
"Ketiga-tiganya masuk melalui pintu belakang dan hanya menyedari masjid ini dilengkapi CCTV ketika mereka berada dalam masjid.
"Sebaik sedar gelagat dirakam, mereka melompat dan menyorok belakang tiang masjid yang menempatkan tabung sebelum bertindak mencabut empat kamera membabitkan dua di ruang solat dan dua lagi di luar masjid," katanya.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pihak pengurusan Masjid Ar Rahmaniah, hari ini.
"Siasatan mendapati tabung masjid di Kampung Perlop Dua dan Kampung Temin juga dipecahkan selain sebatang tiang diconteng dengan isyarat lucah.
"Ekoran dari kejadian itu satu Operasi Bersepadu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar jam 9.30 hingga 11.30 pagi di ladang sawit Kampung Talang Tengah, di sini hari ini," katanya.
Rozeni berkata, hasil serbuan 11 lelaki dipercayai penagih berusia 30 hingga 62 tahun ditangkap dan keterangan daripada beberapa tangkapan itu polis mengenalpasti seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masjid yang dilaporkan.
"Polis kini giat mengesan suspek dan kes kecurian itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membabitkan kerugian wang tunai dianggarkan RM400 dari tabung yang dipecahkan dan empat unit CCTV bernilai RM1,700," katanya.
Sumber Memang kurang ajar, melampau punya penyamun