PTPTN bantu peminjam cari kerja

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan inisiatif baharu bagi membantu peminjam khususnya lebih 300,000 yang belum pernah membuat bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian untuk mendapatkan pekerjaan.

Program JobMatchingPTPTN itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Prestariang Systems Sdn Bhd, dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Sambutan 20 Tahun PTPTN di sini, hari ini.

Portal itu boleh dilayari menerusi www.jobmatchingptptn.my, mulai semalam. Setakat ini, lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan.

Ahmad Zahid berkata, portal JobMatchingPTPTN disediakan untuk peminjam membuat permohonan jawatan kosong; membuat padanan antara kelayakan akademik, pengalaman dan minat peminjam dengan jawatan kosong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Sambutan 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Sime Darby Convention Centre, Jalan Bukit Kiara. - Foto Aswadi Alias

Portal itu juga disediakan bagi mengatur temu duga antara majikan dan peminjam; serta mengatur latihan kemahiran tambahan sama ada di universiti awam, Institusi Pendidikan Swasta, Politeknik atau Kolej Komuniti.

"Mereka yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan dan jika ada yang memerlukan kemahiran tambahan, latihan akan ditawarkan secara bersyarat iaitu menjalani latihan kemahiran di Universiti Awam, Institusi Pendidikan Swasta, politeknik atau kolej komuniti," katanya ketika berucap di majlis itu.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yussof.

Ahmad Zahid berkata, menerusi inisiatif berkenaan, PTPTN menyediakan peruntukan awal RM20 juta bagi membiayai latihan kemahiran tambahan untuk 10,000 peminjam terawal.

"Jika kos latihan kemahiran tidak melebihi RM2,000, mereka tidak perlu membayar balik. Bagaimanapun, jika kos latihan lebih RM2,000, PTPTN akan menyediakan pinjaman bagi membiayainya.

"Saya berharap peminjam PTPTN yang sedang mencari kerja mengambil peluang ini segera," katanya.

Ahmad Zahid berkata, rekod PTPTN menunjukkan ketika ini jumlah peminjam yang membayar pinjaman mencapai 81 peratus.

Beliau percaya pelbagai faktor menyebabkan sebilangan peminjam gagal membayar pinjaman dan pelbagai usaha dilakukan oleh PTPTN bagi mengutip bayaran balik bagi membolehkan penyediaan pinjaman untuk pelajar baharu.

Beliau turut mengingatkan peminjam PTPTN supaya bertanggungjawab dalam menyelesaikan pinjaman masing-masing.

Katanya, tindakan peminjam yang enggan membayar balik pinjaman sekali gus menafikan hak pelajar lain yang layak menyambung pelajaran ke menara gading tetapi berdepan masalah kewangan untuk mendapat pinjaman PTPTN.

Justeru, beliau menyokong usaha dilakukan PTPTN bagi mengutip semula pinjaman termasuk menyenarai hitamkan mereka serta larangan ke luar negara.

"Mana ada agama yang mengajar tidak payah bayar hutang. Kita (kerajaan) sering disalah tafsir dalam kempen (pembangkang) untuk menanamkan kebencian kepada rakyat supaya tidak perlu bayar hutang," katanya.

Ahmad Zahid memuji pelbagai usaha dan tindakan proaktif  PTPTN sehingga berjaya meningkatkan bayaran balik pinjaman dengan kutipan berjumlah RM3.98 bilion pada 2017 berbanding RM3.43 bilion pada 2016.

Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri membuat kejutan apabila mencadangkan supaya pengurusan PTPTN memberi bonus tambahan sebulan kepada kakitangan agensi itu berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama tahun lalu.

Sementara itu, pada sidang media Shamsul Anuar berkata setakat ini, lima peminjam sudah mendapat pekerjaan melalui projek perintis ini yang dibuat sejak tiga bulan lalu.

"Kita berharap lebih ramai mendapat manfaat melaluinya," katanya.



Sumber PTPTN bantu peminjam cari kerja

Post a Comment

Previous Post Next Post