KUALA LUMPUR: Misi besar Raja Ilya, 32, mengukir nama di Hollywood bermula dengan menyertai sesi pemilihan untuk melayakkan dirinya membintangi sebuah produksi terkenal.
Bercakap kepada BH Online, Raja Ilya berkata, dia akan berada di sana selama dua minggu untuk menjalani beberapa peringkat uji bakat bagi menjayakan watak dalam filem terbitan produksi yang popular dengan siri adiwira itu.
"Selepas enam bulan membuat persediaan rapi dari semua aspek, saya kini bersedia memulakan perjuangan itu.
"Saya perlu memastikan diri sentiasa cergas dan berusaha mendapatkan bentuk badan ideal sebagai syarat kelayakan menyertai sesi pemilihan itu," katanya.
Raja Ilya atau nama lengkapnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad berkata, meskipun teruja, dia tetap gementar terutama apabila dimaklumkan, proses awal yang bakal dilaluinya itu bukan mudah.
Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu bagaimanapun, bertekad memberikan yang terbaik untuk melunaskan impian membawa bakatnya ke liga antarabangsa.
"Sebelum ini, saya pernah terlepas peluang berharga ini hingga ramai yang membuat andaian negatif.
Tetapi, kali ini saya sahut cabaran itu dan akan memberikan sepenuh hati," katanya.
Raja Ilya berkata, sebelum ini, tidak banyak yang dapat dikongsi mengenai perancangan besarnya itu kerana terikat dengan beberapa perjanjian bersama syarikat produksi dan ejen di sana.
Pelakon yang terkenal menerusi filem Appalam itu berharap, peminat mendoakan urusannya dipermudahkan kerana pemergiannya ke sana turut diiringi misi mengharumkan nama anak seni tempatan.
"Saya sudah berkorban jiwa dan raga, selain wang ringgit untuk memastikan saya mendapat peluang ini.
Saya berharap dapat menyumbang sesuatu untuk menaikkan lagi martabat seni negara," katanya.
Ilya yang bakal muncul dalam drama rantaian Syurgaku Tak Sempurna 2 terbitan Darkwave Pictures, turut berkongsi beberapa gambar di Instagram sebagai motivasi untuk memulakan misi besarnya itu.
Sumber Raja Ilya mulakan misi di Hollywood