Bront tak selesa tayang anak, isteri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Bront Palarae, enggan terlalu mendedahkan anaknya, Adeena Imani, 2 tahun, di media sosial, malah tidak pun mewujudkan akaun khas buat permata hatinya itu.

Bukan sekadar tidak membuka akaun Instagram atau sebagainya buat si kecil, Bront, 39, juga jarang membawa anak atau isteri, Rozi Izma, ke majlis hiburan atau acara seni.

Justeru, apabila kanak-kanak itu turut kelihatan pada majlis pelancaran filem One Two Jaga yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah, di sini, gelagat si comel berkenaan sudah tentulah mendapat perhatian mereka yang hadir.

"Masa untuk anak pun tak cukup, macam mana saya nak kendalikan Instagram dia pula? Lagi pun, kami lebih selesa berada di belakang tabir daripada menjadi perhatian ramai.

"Saya juga tiada bezanya dengan bapa yang lain, sibuk dengan kerja sampai kadang-kadang tak cukup masa untuk dirinya," kata bintang Halfworlds ini.

Menyentuh kehadiran isteri dan anaknya pada majlis itu, Bront menjelaskan, Rozi ialah penerbit eksekutif kepada filem terbitan syarikatnya, Pixel Play.

Begitupun, saat diminta bergambar bersama dua buah hatinya itu, Bront menolaknya secara baik kerana tetap dengan pendirian enggan menonjolkan mereka kepada umum.

BRONT Palarae (empat dari kiri) dan pengarah, Nam Ron (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran filem One Two Jaga di Sungei Wang. - Foto: Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya pernah membawa mereka bertemu media ketika tayangan perdana Ayat Ayat Cinta 2, di Jakarta. Kiranya, inilah kali kedua mereka bertemu dengan media, apatah lagi isteri yang menguruskan penerbitan filem ini, sejak masih hamil.

"Saya memang tidak suka tonjolkan kehidupan peribadi kerana lebih selesa perjalanan seni saya yang ke depan atau diberikan perhatian. Begitupun, tentunya ada gambar dan video Adeena dalam Instagram isteri, tetapi ia juga diletakkan dalam 'mode' peribadi. Malah, saya sendiri tak jadi pengikut akaun isteri," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya seninya, Bront berkata, kesibukan melunaskan undangan lakonan di Indonesia, sepanjang tahun lalu, bukan sekadar membataskan waktunya bersama keluarga, malah membuatkannya kurang memberikan perhatian kepada industri seni tanah air.

Justeru, pada tahun ini beliau cuba memberikan semula tumpuan kepada industri seni tempatan walaupun masih ada beberapa tawaran lakonan diterima dari negara itu.

"Masih ada beberapa lagi tawaran lakonan sejak tahun lalu, yang belum diputuskan, termasuk filem dan siri televisyen antarabangsa. Cuma, buat waktu ini saya tak dapat mendedahkan perkara itu kerana belum menandatangani kontrak," katanya.



Sumber Bront tak selesa tayang anak, isteri

Post a Comment

Previous Post Next Post