PETALING JAYA, 7 Mac — Pelakon Farah Nabilah tidak menyalahkan penonton andai mereka masih merasakan kehangatan drama Titian Cinta.
Farah, 25, berharap penonton tidak membandingkan keserasiannya bersama Zul Ariffin dengan pelakon gandingan dalam drama akan datang.
“Sampai sekarang di Instagram, saya lihat peminat masih belum boleh berganjak.
“Mereka tidak boleh dipersalahkan dan saya bersyukur kerana sampai begitu kesannya.
“Walau ada yang masih terkesan dengan Titian Cinta tetapi mereka tidak boleh membandingkan cerita yang dahulu dengan yang selepasnya.
“Ini kerana jalan cerita, pelakon, watak dan set penggambarannya berbeza,” katanya kepada ProjekMMO.
Kehangatan Titian Cinta masih dirasakan penonton selepas babak romantis antara dua pelakon ini menjadi bualan ramai.
Anak jati Kelantan ini bulan lepas mencuri perhatian penonton selepas tampil dalam drama Adakah Aku Bersalah membawa watak antagonis.
Melakonkan watak isteri curang, Farah tampil dalam sisi berbeza jika dibandingkan Titian Cinta yang banyak menonjolkan babak romantis.
Mengulas kejayaan Titian Cinta, Farah berkata bukan satu masalah jika mereka digandingkan dalam drama lain.
Katanya, walau dilihat romantis bersama Zul dalam drama namun jejaka sasa itu tidak memikat hatinya.
“Saya tidak kisah [bersama Zul lagi]. Itu rezeki. Ada atau tidak bersama Zul, itu tidak menjadi masalah.
“Saya ini jenis tidak masuk campur hal kerja dengan peribadi. Bukan semua orang [kagum dengan Zul]. Begitu juga saya,” katanya.
Farah berkata sebagai pelakon baharu, Zul sangat dihormatinya apatah lagi memiliki bilangan peminat yang ramai.
Katanya, perasaan takut sentiasa bermain di fikiran jika gandingannya bersama Zul tidak mendapat sambutan.
“Saya lebih kepada takut [bersama Zul] sebab saya pertama kali di slot Akasia. Jadi saya takut dan belum berkeyakinan.
“Bila berlakon bersama Zul, kita tahu ia akan ditonton ramai orang, saya takut jika tidak dapat berikan yang terbaik.
“Saya sangat bertuah sebab dia sudah lama dalam industri, ada ramai peminat dan dia pun pandai berlakon, jadi ia satu peluang baik pada masa itu.
“Saya banyak belajar daripada dia kerana lakonannya sangat semula jadi sehingga saya terbawa-bawa,” katanya.
Sumber Ramai minat Zul Ariffin? Saya bukan orangnya, kata Farah