Rebut peluang pasaran produk halal Jepun

CHIBA, Tokyo: Syarikat Malaysia diminta merebut peluang terhadap permintaan produk halal yang tinggi di Jepun terutama menjelang Sukan Olimpik 2020.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris, berkata permintaan bertambah ketika Jepun membuat persediaan kemasukan pelancong luar yang dijangka meningkat tahun ini sehingga ke Sukan Olimpik nanti.

Katanya, Jepun mensasarkan menerima lebih 40 juta pelancong sempena penganjuran Sukan Olimpik dengan sebahagian daripadanya adalah pelancong beragama Islam.

Justeru katanya syarikat Malaysia perlu memastikan bahawa produk mereka memenuhi keperluan pensijilan dan piawaian yang ditetapkan bagi memasarkan produk halal mereka di negara itu.

"Penyertaan syarikat makanan dan minuman Malaysia dalam Pameran Perdagangan Antarabangsa Jepun 2018 (FOODEX Japan 2018) kali ini juga tepat pada masanya.

"Ia acara premier bagi mengetengahkan produk Malaysia ke pasaran Jepun memandangkan ia juga menarik pengimport dan pemain industri negara ini," katanya selepas melancar dan melawat Pavilion Malaysia yang menyertai FOODEX Japan 2018 di Pusat Pameran Makuhari Messe, hari ini.

Sebanyak 25 pengeksport Malaysia mengambil bahagian menerusi Malaysia Pavilion kendalian Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang berakhir Jumaat ini.

Ia penyertaan kali ke-16 perbadanan dalam acara tahunan sektor makanan dan minuman yang dianggap sebagai pameran makanan dan minuman terbesar di Asia Pasifik.

Antara produk yang dipromosikan termasuk minuman dan makanan segera, makanan ringan dan gula-gula, produk berasaskan durian, kelapa, sos dan pasta.

Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Tokyo, Shah Nizam Ahmad, berkata potensi jualan yang diraih syarikat Malaysia menyertai FOODEX Japan 2018 dijangka sebanyak RM60 juta.

Beliau berkata MATRADE juga mengaturkan lebih daripada 400 pertemuan perniagaan antara syarikat Malaysia dan syarikat tempatan yang berpotensi sepanjang tempoh pameran berkenaan.

Katanya, penyertaan syarikat Malaysia di FOODEX Japan 2018 adalah salah satu platform pemasaran utama bagi membuka ruang peluang perniagaan dan meneroka pasaran di Asia Timur khususnya di Jepun.

"Malaysia mengeksport makanan siap proses bernilai RM4 bilion (US$1.03 bilion) ke negara-negara di Asia Timur pada 2017.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai RM972 juta (US$249.0 juta) selepas China bernilai RM1.56 billion (US$391.6 juta), diikuti oleh Hong Kong, Republik Korea dan Taiwan," katanya.



Sumber Rebut peluang pasaran produk halal Jepun

Post a Comment

Previous Post Next Post