Badminton: Vivian-Mei Kuan lengkapkan pingat emas ketujuh

VIVIAN Hoo-Chow Mei Kuan mempamerkan aksi bertenaga untuk merangkul pingat emas beregu wanita di Arena Sukan Carrara hari ini sebagai menutup cabaran Malaysia dengan pingat emas ketujuh dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Semalam, Lauren Smith-Sarah Walker yang merupakan beregu ketiga England, mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan utama, Setyana Mapasa and Gronya Somerville, namun sama sekali gagal mencetuskan cemas buat pasangan beregu Malaysia itu.

Vivian dan Mei Kuan mempamerkan ketenangan menerusi kawalan gelanggang yang baik sehingga memaksa Lauren Smith-Sarah Walker menyerah mudah 12-21, 12-21.

"Selepas Datuk Lee Chong Wei menang, kami lebih bersemangat untuk mendapatkan emas kedua skuad badminton.

"Ramai beranggapan skuad badminton gagal mencapai prestasi sebenar, jadi emas ini adalah untuk rakyat Malaysia," kata Vivian.

Sementara itu, Mei Kuan membalas kepercayaan berikutan kecederaan yang menimpa gandingan asal Vivian, Woon Khe Wei.

"Semestinya saya gembira kerana dapat bergandingan dengan Vivian buat pertama kali.

"Kami bermain baik tadi sehingga menyukarkan pihak lawan untuk mematikan (bulu tangkis) kami."



Sumber Badminton: Vivian-Mei Kuan lengkapkan pingat emas ketujuh

Post a Comment

Previous Post Next Post