JOHOR BARU, 12 April — Sebuah pasar raya diserbu ratusan pelanggan berikutan khabar angin Tengku Mahkota Johor (TMJ) menanggung pembelian mereka.
Sekalipun perkara itu dinafikan pengurusan Econsave Pontian berulang kali, mereka tetap beratur bersama troli di kaunter sejak jam 10.30 pagi tadi.
“Ada dakwaan menyatakan TMJ akan hadir ke Econsave Pontian jam 12 tengah hari untuk membayar barangan pelanggan.
“Tapi, kami sudah semak dengan polis yang mengesahkan perkara itu palsu,” kata pengurus operasi Econsave Mas Imran Adam ketika dihubungi Malay Mail.
Semalam, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menanggung pembelian di pasar raya Aeon Tebrau City sehingga RM1 juta antara jam 7 malam hingga 8 malam dengan setiap seorang terhad kepada RM3,000.
Sementara itu, pasar raya Aeon Tebrau City beroperasi semula hari ini selepas kerja pembersihan dibuat berikutan keadaannya bersepah.
“Kita tutup hari ini dan dibuka jam 1.30 petang tadi. Menjelang jam 3 petang, kita beroperasi penuh,” kata pekerja yang enggan dikenali kepada Malay Mail.
Berita selanjutnya di Malay Mail
Sumber Khabar angin, Econsave Pontian serbu ratusan pelanggan