MARANG, 15 April — Gara-gara mengelak batu, seorang ahli Umno cedera di pinggang dan lengan akibat dirempuh rakan sendiri dalam kemalangan melibatkan dua motosikal 1.30 pagi tadi.
Ketika kejadian Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 35, dan dua rakannya Mohd Syazwan Hajis, 33, serta Mohd Fikri Hajis, 22, dalam perjalanan ke Kampung Telaga Mengkudu untuk memasang bendera dan poster, lapor Harian Metro.
Ketika tiba dekat lampu isyarat Padang Midin, Ketua Pemuda Umno Kampung Kubang Panjang berkata beliau memperlahankan motosikal kerana mahu mengelak batu di bahu jalan.
Namun Mohd Fikri yang mengekorinya dengan motosikal lain tidak sedar kerana sedang leka melihat sekumpulan lelaki memasang bendera.
“Berikutan rempuhan itu, saya dan Mohd Syazwan yang membonceng tercampak ke atas jalan,” katanya.
Mohd Syazwan dan Mohd Fikri hanya calar di muka. Semua mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Tidak ada laporan polis dibuat.
Sumber Mahu elak batu, ahli Umno cedera dirempuh rakan sendiri