KUALA LUMPUR, 7 April ― Polis hari ini mengesahkan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar bebas daripada penyalahgunaan dadah setelah menerima keputusan ujian urin daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihak Patologi HKL telah mengesahkan ujian air kencing beliau negatif.
“Sejurus penahanan beliau, pegawai penyiasat polis Dang Wangi telah menghantar sampel air kencing (saringan awal) yang diambil daripada Rizalman kepada pihak HKL dan telah meminta mereka (HKL) menyegerakan ujian berkenaan.
“Susulan keputusan itu, polis juga telah merujuk kes itu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN). PPN juga telah mengarahkan supaya tiada tindakan lanjut dikenakan kepada Rizalman,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mazlan bagaimanapun berkata HKL masih belum memberikan keputusan lanjut berhubung ujian air kencing sembilan lagi rakan Rizalman yang sebelum ini didapati positif.
Katanya pihak polis melaksanakan tugas secara adil dan saksama serta tiada unsur ‘perangkap’ dan penganiayaan dalam kes ini.
“Semua ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan surat pemakluman kes telah diserahkan kepada Rizalman untuk pemaklumannya,” katanya.
Isnin lepas, Rizalman ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di sini, kerana didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine bersama tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita Indonesia.
Rizalman pada Rabu lepas mengadakan sidang media menafikan dirinya menggunakan dadah dan mendakwa beliau telah disabotaj. ― Bernama
Sumber Polis: Ujian air kencing ketua bahagian Umno negatif