FELDA Yang Dulu, Bukanlah Yang Sekarang


Pasti ramai yang masih boleh menyanyikan lagu “Aku yang dulu bukanlah yang sekarang”. Lagu yang dipopularkan oleh anak muda Tegar Septian dari Indonesia ini telah menambat hati ramai peminat baik di sana atau di Malaysia. Liriknya jelas menunjukkan bagaimana kehidupan kini lebih baik dari yang lepas. Tahniah Tegar!

Lagu ini juga sangat bertepatan dengan situasi FELDA. Sejak beberapa tahun yang lepas, FELDA sering dihujani dengan tohmahan, fitnah dan pelbagai lagi khabaran negatif mengenainya. Laporan Ketua Audit Negara, prestasi harga pasaran Felda Global Venture (FGVHB), persepsi governans yang rendah dan pelbagai lagi.

Ini membuatkan imej dan keyakinan masyarakat khususnya komuniti bank dan perniagaan tercalar. Sejak penyenaraian awam FGVHB pada tahun 2012, harga pasaran saham syarikat berkaitan FELDA ini terus merudum ke tahap sehinggakan pelabur utama KWSP juga sanggup menelan kerugian untuk mengurangkan risiko dari hilang terus nilai pelaburan mereka.

FGVHB selaku cabang komersial utama Kumpulan FELDA juga mencatatkan penurunan keuntungan tahunan sejak penyenaraian bermakna jumlah bayaran dividen yang diterima FELDA juga berkurangan. Felda Investment Corporation (FIC) selaku cabang pelaburan bukan berasaskan perladangan juga melakukan pelaburan-pelaburan yang bernilai lebih tinggi dari pasaran, dan ini sekali gus mengurangkan tunai bagi FELDA untuk ‘terus beroperasi’. Ini bermakna FELDA harus meminjam banyak pinjaman jangka pendek yang tinggi faedahnya

Ya, FELDA dilihat boros oleh kaca mata komuniti perbankan. Berbelanja tak ingat dunia namun masih tidak sedar punca tunai semakin mengecil dek kerana kekurangan dividen FGVHB dan lambat pulangan pelaburan nilai luar biasa FIC.

“FELDA is not bankable anymore”. Itu adalah antara kata-kata yang berlegar-legar dimulut ramai.

Malah pada satu ketika, FELDA cuba untuk meminjam tunai namun tiada bank komersial yang sudi menyahut kerana had kredit FELDA yang ditetapkan oleh bank masing-masing sudah mencapai maksimum. Bayangkan umpama kredit kad yang kita belanja sehingga kita ‘max-out’ kerana boros berbelanja. Satu bank koperasi sudi meminjamkan tunai tersebut kepada FELDA namun FELDA harus menyediakan cagaran aset bernilai dua kali ganda dari jumlah yang mahu dipinjam.

Bagaimana FELDA mahu terus kekal menjadi peneraju pembangunan luar bandar sekiranya hendak beroperasi harian juga payah. Bagaimana mahu berevolusi jika tunai kewangan yang ada hanya untuk pastikan FELDA beroperasi cukup-cukup makan.

Kini tidak lagi. Sejak awal tahun 2017, FELDA telah berubah. FELDA telah mempunyai fokus yang baru. Sejak YB Tan Sri Shahrir Samad dilantik Pengerusi FELDA, beliau dan barisan Lembaga FELDA yang baru, ‘FELDA yang dulu bukanlah yang sekarang’.

Berkat kepimpinan tegas dan ikhlas Lembaga FELDA, kini FELDA dilihat sebagai sudah sedar, serius dan bangun dari tidur. FELDA yang kini secara berterusan memperbaiki operasi, budaya dan niat mereka. Prinsip #BalikAsal dimulakan. #MuafakatBersamaFELDA diadakan untuk memulihkan keyakinan peneroka kepada FELDA.

Dari peruntukan RM 100juta untuk dana pusingan wang hasil untuk memastikan tiada kelewatan pembayaran hasil kepada peneroka, kepada tawaran kembali bermuafakat kepada peneroka-peneroka yang ‘tersisih’ atau’menyisihkan diri’ dari FELDA. Sehingga kini seramai 105,294 daripada 112,635 peneroka telah kembali bermuafakat.

Keputusan untuk menjual hotel di London oleh Lembaga FELDA juga dilihat oleh komuniti perbankan sebagai tanda FELDA sudah berdisiplin dengan kewangannya. FGVHB juga sudah mula mencatatkan keuntungan pada setiap suku tahun. Ini bermakna peningkatan bayaran dividen akan memulihkan aliran tunai FELDA. Ini semua akhirnya menarik minat sebuah bank tempatan sudi menawarkan pinjaman Sukuk bernilai RM 4.0 billion pada pertengahan tahun 2017. Bank-bank sudah kembali kepada FELDA.

Pada awal tahun 2018, FELDA melancarkan inisiatif FELDA 2.0 sebagai usaha mengembali dan melonjakkan FELDA selaku peneraju pembangunan luar bandar. Sebanyak 14 agensi kerajaan dan syarikat korporat telah melabur RM 8.8juta bagi menaiktaraf FELDA Lurah Bilut sebagai tanda kepercayaan dan sokongan kepada FELDA.

Maka betullah FELDA yang dahulu bukanlah yang sekarang. FELDA kini lebih diyakini dan lebih dipercayai.

Azwan Omar
FELDA Kemansul, Bentong Pahang



Sumber FELDA Yang Dulu, Bukanlah Yang Sekarang

Post a Comment

Previous Post Next Post