PAS dulu diterima, kini jauh dari bukan Islam, kata Nik Omar

PETALING JAYA, 2 Mei — Nik Omar Nik Aziz menyifatkan pendekatan PAS pada masa ini menjauhkan golongan bukan Islam daripada dakwah Islam.

Dalam wawancara ekskusif Facebook Live Astro Awani, beliau berkata PAS sebelum ini "mendapat sokongan daripada bukan Islam" tetapi pendekatan sekarang "merugikan dari sudut dakwah".

"Akan tetapi kini pengundi bukan Islam telah beralih arah. Itu yang merugikan dari sudut dakwah," kata anak kedua bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, petang ini.

"Tok guru ( Datuk Nik Aziz Nik Mat), dalam mendekatkan bukan Islam dengan dakwah, beliau akan buat apa sahaja selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam," katanya.

"Contohnya, sewaktu dia melawat Karpal Singh, pagi itu ambo [saya] ada bersama beliau. Tok guru kata ayah ni sakit, demam tapi rasa nak ziarah Karpal Singh.

"Dia sebut pagi, petang dah jumpa, dalam keadaan tak sihat dan demam. Ambo yakin tok guru ziarah semata-mata nak tunjuk kepada bukan Islam [mengenai] hubungan sesama manusia".

Sebelum itu, pengetua Maahad Darul Anwar itu cuba menjelaskan pemikiran politik Nik Aziz untuk membina sebuah negara lebih baik melalui "kesepakatan".

"Jika negara diperintah sebuah kerajaan yang baik, ia memberi manfaat kepada semua rakyat tidak mengira bangsa, agama, keturunan," katanya.

"Ambo fikir tidak ada gabungan yang mampu berada di tampuk pemerintahan melainkan dengan Pakatan Harapan. Dan [sebab itu] ambo bertanding atas tiket Pakatan Harapan."

Susulan keputusan PAS meletakkan adindanya Nik Abduh bertanding di parlimen Bachok, bukan Pengkalan Chepa, Nik Omar menyerahkan kepada umum untuk mentafsirkannya.

"Ambo ada jawapannya, tapi ambo serah kepada orang ramai untuk beri jawapan," katanya, yang memilih bertanding di Chempaka demi meneruskan "legasi tanggungjawab" bapanya.

"Ambo ambil keputusan bertanding di Chempaka bukan untuk memberi saingan tapi berlumba untuk membuat kebaikan [khususnya dalam politik]," katanya lagi.

"Ia mungkin juga tercetus dari dalaman [iaitu] keperluan untuk menyumbang kepada agama, rakyat dan negara bukan dalam pendidikan sahaja malah lebih luas dalam dalam politik."

Mengulas isu restu bondanya, Nik Omar lebih gemar untuk "tidak berminat berbalah, cetuskan ketegangan dan suka keharmonian".

"Ambo dididik oleh tok guru, ibu supaya lebih bertanggungjawab. Kalau silap minta ampun kepada Allah. Tak timbul restu tak restu ni," katanya.

"[Orang lihat] tak harmoni? Cuma [tanggapan] itu untuk melariskan cerita. Insya-Allah tidak ada masalah. Yang jadi masalah apabila dua-dua [mahu] ketegangan."



Sumber PAS dulu diterima, kini jauh dari bukan Islam, kata Nik Omar

Post a Comment

Previous Post Next Post