Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan susulan kemenangan dalam tiga perlawanan pertama menentang Russia dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand, hari ini.
Turun selaku pemain pertama membawa cabaran Malaysia adalah perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei. Tenaga jaguh itu terpaksa dipertaruh memandangkan Malaysia enggan mengambil risiko kehilangan mata penting.
Menentang Vladimir Malkov, pemain negara itu tidak berdepan sebarang masalah untuk menghadiahkan mata pertama apabila meraih kemenangan 21-9, 21-6.
"Untuk perlawanan pertama ini, saya mahu menyesuaikan diri dengan gelanggang kerana saya tahu ramai mengadu mengenainya.
"Ia kerana angin sangat kuat di dalam gelanggang. Tetapi sama, saya dan lawan menghadapinya," kata Chong Wei.Perlawanan seterusnya menyaksikan beregu nombor satu negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, berdepan bekas juara Seluruh England 2016, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov.
Terbukti Ivanov-Sozonov bukan calang-calang lawan apabila menguji hebat V Shem-Wee Kiong dalam set pertama, dengan menyaksikan kedudukan terikat 16-16 sebelum pasangan negara itu menang 21-18.
Kredibiliti V Shem-Wee Kiong terus diuji hebat dalam set kedua apabila beberapa kali ketinggalan sebelum menang 21-19.
"Hari ini agak tercari-cari penyesuaian, memang sedikit berbeza dengan latihan. Tetapi, kami bernasib baik kerana dapat menemui rentak lebih awal berbanding mereka," kata Wee Kiong.
Memastikan kemenangan Malaysia adalah Lee Zii Jia yang menewaskan Sergey Sirant 21-13, 21-16 dalam tempoh 35 minit.
Zii Jia, yang beraksi buat kali pertama di pentas Piala Thomas, nyata tidak menampakkan rasa gugup dalam situasi mencabar.
"Setakat ini, semuanya dalam keadaan baik. Saya berjaya membawa pasukan untuk kedudukan 3-0. Saya berharap kami dapat membuat persiapan untuk perlawanan esok," katanya.
Malaysia seterusnya akan berdepan Algeria, esok.
Sumber Piala Thomas: Malaysia mudah lepasi halangan Russia