Projek Mustahil Mengubah Wajah FELDA

Tahun lalu, kerap aku nampak orang bercakap tentang Felda 2.0 di Facebook. Felda, Felda 2.0, Lurah Bilut. Lurah Bilut, Felda 2.0, Felda. Aku tak ambil port sangat. Kadang-kadang like. Komen tak pernah.

Aku, sama macam kebanyakan kita, biasanya skeptikal dengan apa-apa projek kerajaan. Mesti ada apa-apa tak kena. Nak pula, Felda pun banyak sangat isu panas baru-baru ni.

November lalu, aku secara tak rasminya dijemput ke Felda Lurah Bilut. Aku okay. Boleh jalan-jalan, makan-makan. Kena pula ada teman boleh ikut.

Sampainya kami petang tu, kebetulan ada acara Lab di SK Felda Lurah Bilut. Lab ni kiranya macam program depa jalankan untuk terangkan kepada orang ramai terutamanya masyarakat Felda Lurah Bilut.

Dalam Lab ni, mereka tunjukkan blueprint secara asasnya bagaimana Felda 2.0 yang sedang dijalankan di Felda Lurah Bilut.

Segala fasiliti yang bakal dibangunkan, semua program yang akan dijalankan.

Tujuan Felda 2.0 ni katanya untuk tranformasikan dan ubah wajah 317 kawasan tanah Felda seluruh negara. Bermula dengan Felda Lurah Bilut, sebab ni merupakan tanah rancangan Felda pertama dilancarkan pada 1958.

Seperti awal, aku masih skeptikal. Tak mungkin mereka dapat buat semua seperti rancang ni. Fasiliti yang mereka nak bangunkan ni bukan biasa-biasa. Aku tak yakin langsung. Nak pula dalam masa yang sangat singkat ni.

Namun aku biarkan sajalah rasa tu dalam kepala otak. Benda-benda baik macam ni kita kena sokong kurang-kurang, kalau tak dapat bantu pun.

3 Februari lalu, aku turun sekali lagi ke Felda Lurah Bilut walaupun tak dijemput. Esoknya, Perdana Menteri akan rasmi dan lancarkan Felda 2.0 katanya.

Hati terasa nak tengok betul ka tidak apa depa dah buat tu. Lagipun ramai dah up gambar mural cantik. Nak juga aku tengok depan-depan mata.

Sejam lebih perjalanan, aku sampai ke pintu gerbang. Fuh, dah ada yang baru rupanya. Bukan lagi cuma ada pintu gerbang warna pelangi. Orang ramai tepi-tepi kiri dan kanan. Bersiap sedia untuk event esok kot.

Disebabkan aku tak ada apa-apa jadual, jadi kami pun masuklah ke Felda pusing-pusing.

Pertama, tuju dulu ke mural. Wow, memang lawa. Dari jauh nampak gah betul. Manakan tidak, artisnya anak Malaysia yang pernah buat mural di Dubai.

Gerak lagi kami melilau-lilau. Laluan pedestrian pun sudah baru. Kalau tak sebelum ni cuma rumput dan lalang ja lah. Ni dah bercat warna-warni. Namanya Jalan Terus.

Kami singgah sebentar di Hostel Backpackers. Masa ni hostel ni ditutup. Jadi kami cuma jenguk-jenguk dari luar. Nampak kemas designnya dan selesa.

Depan sikit, kita akan nampak co-working space. Aku tak masuk pun sebab tertarik dengan design pagar batu bata depannya. Lawa betul mereka susun jadi bentuk ala-ala Minecraft tu.

Muzium pun sudah berwajah baru. Dah tak macam awal-awal aku datang. Papan info yang moden dan tepat. Dengan design yang baru. Kalau tak, nak baca info pun huru-hara.

Namun tu tak cukup. Aku perlu cakap juga satu landskap paling aku suka yang Felda 2.0 buat di tepian sungai Felda Lurah Bilut. Dia macam satu tempat untuk kita nikmati permandangan sungai jernih dan cetek tu.

Aku tanya-tanyalah juga depa. Mana dapat idea buat benda lawa macam ni? Katanya depa inspirasikan daripada robot AT-AT Star Wars tu. Tak patut, tak patut.

Walaupun semasa tu, belum siap dibina kesemua fasiliti yang dirancang, termasuk yang aku tunggu-tunggu iaitu Menara Tinjau di atas puncak bukit (lagilah power), aku dah dapat rasakan perubahan total Felda Lurah Bilut.

Dengan perkhabaran pada 2018, ada beberapa lagi Projek Felda 2.0 bakal dilaksanakan sepanjang tahun termasuklah di Felda Sungai Klah, Felda Bukit serampang, Felda Gugusan Bera, Felda Chuping dan Felda Gugusan Adela.

Segala rasa skeptikal dalam kepala otak perlahan-lahan terhakis sedikit demi sedikit. Nampaknya, Felda begitu serius nak transformasikan tanah rancangannya. Satu usaha yang perlu kita sokong, kalaupun tak dapat kita orang kebanyakan nak tolong.

Seperti kata Fdaus Ahmad, wang Felda mengalir terus ke Felda.

Zulhilmi Daud



Sumber Projek Mustahil Mengubah Wajah FELDA

Post a Comment

Previous Post Next Post